Siapa suka makan jeruk mangga? Dengar namanya pun boleh buat kecur air liur. Belum lagi kalau nampak depan mata. Alamatnya, tidak tidur malam dibuatnya. Nak tahu cara buat jeruk mangga homemade yang rangup? Jom baca artikel ini.
Jeruk ialah sejenis makanan yang mengalami proses pengawetan dengan cara direndam larutan berasid atau garam. Terdapat pelbagai jenis jeruk di negara kita iaitu jeruk mangga, kedondong, betik, lobak putih, lada dan sebagainya.
Biasanya jeruk buah-buahan akan dimakan begitu sahaja berbanding jeruk sayur-sayuran. Jeruk lada misalnya, akan dimakan bersama-sama kuetiau goreng. Manakala, jeruk lobak putih akan dimasak bersama-sama masakan lain atau dimakan dengan bubur nasi.
Ramai di antara kita yang suka makan jeruk mangga bukan? Rasanya yang masam, masin dan manis benar-benar membangkitkan selera. Jika kita diserang selsema dan demam, pasti selera makan akan terjejas. Cuba makan sedikit jeruk mangga, pasti tekak akan berasa lega.
Begitu juga dengan ibu mengandung yang sering loya, mereka gemar makan jeruk untuk menghilangkan rasa mual. Namun, jangan pula makan jeruk dalam keadaan perut kosong. Masalah lain pula yang akan timbul nanti.
Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan cara membuat jeruk mangga homemade yang rangup. Kini, anda tidak perlu lagi beli di pasaran. Kita pun tidak pasti kandungan sebenar bahan dan tahap kebersihan dalam penyediaannya. Teruskan pembacaan anda.
Jeruk yang enak mestilah rangup dan tidak lembik. Kerangupan teksturnya ditambah pula dengan rasa masam, masin dan manis serta pedas membuatkan kita mengunyah tanpa henti. Di bawah ini, penulis akan kongsikan beberapa resepi jeruk mangga yang rangup.
Bahan-bahan:
6 biji mangga muda
2 genggam garam kasar
Setengah botol cuka
400 g gula pasir
Cara buat:
Basuh buah mangga sehingga bersih. Kemudian, buang kulit dan bilas sekali lagi. Potong isi mangga mengikut citarasa masing-masing. Isikan air masak yang suam separas buah yang dipotong ke dalam besen.
Masukkan garam dan cuka. Gaulkan kesemuanya hingga sebati. Tutup bekas dan biarkan semalaman. Selepas itu, tapis dan buang air rendaman tersebut. Anda tidak perlu membasuhnya.
Masukkan buah mangga ke dalam balang kaca atau plastik. Sementara itu, gula pasir perlu dimasak dengan sedikit air. Setelah sejuk, tuangkan ke dalam balang tersebut. Simpan semula di dalam peti sejuk semalaman lagi.
Bahan-bahan:
15 hingga 20 biji mangga epal
2 genggam garam kasar
1 sudu besar kapur makan (larutkan di dalam air)
1 kg gula pasir
3 cawan air
Cara-cara:
Setelah mangga dikupas kulitnya, bilas sehingga bersih. Masukkan mangga yang telah dipotong ke dalam balang dan isikan garam kasar. Biarkan semalaman di dalam peti sejuk. Air yang terkumpul perlu dibuang keesokan harinya.
Air kapur perlu dibancuh dengan air. Kemudian, tuang ke dalam balang sehingga mangga tenggelam. Biarkan selama 6 hingga 12 jam. Masak gula dengan 3 cawan air sehingga larut. Biarkan sehingga sejuk.
Mangga yang direndam dengan air kapur perlu dibasuh dan ditoskan airnya. Masukkan semula ke dalam balang dan isikan air gula yang telah sejuk tadi. Air gula tidak perlu menenggelamkan kesemua hirisan mangga. Simpan di dalam peti sejuk semalaman.
10 biji mangga muda
8 sudu besar gula pasir (boleh ditambah)
2 sudu besar garam
Setengah cawan cuka
10 tangkai cili padi (boleh ditambah)
Beberapa biji asam kecut kegemaran
5 biji limau kasturi
Cara-cara:
Potong kulit buah mangga dan bilas sehingga bersih. Kemudian, hiris mengikut ketebalan yang disukai. Tapis lebihan air sehingga sedikit kering. Masukkan, cuka, garam dan gula. Biarkan semalaman di dalam peti sejuk. Esoknya, buangkan lebihan air yang terhasil. Anda tidak perlu mencucinya.
Belah tengah buah limau kasturi yang telah dicuci (tidak perlu perah jusnya). Masukkan ke dalam balang berisi buah mangga. Isikan juga dengan beberapa biji asam kecut dan hirisan cili padi. Goncang balang tersebut supaya semua bahan sebati.
Bahan-bahan:
10 biji mangga epal
1 sudu besar kapur makan
Secawan serbuk asam
Beberapa tangkai cili padi
Cara-cara:
Buah mangga yang telah dikupas kulit perlu dihiris memanjang. Campurkan kapur dengan air suam dan tuangkan ke dalam hirisan mangga tenggelam. Biarkan di dalam peti sejuk semalaman.
Esoknya, bilas dan tapis hirisan mangga tersebut. Kemudian, masukkan serbuk asam (kalau hendak lebih manis, boleh letakkan gula ikut suka). Akhir sekali, masukkan hirisan cili padi untuk menambahkan kesedapan jeruk mangga tersebut.
Bahan-bahan:
2 biji mangga muda
5 tangkai cili padi (dihiris)
4 sudu besar gula pasir
5 biji asam boi (atau asam-asam jenis lain)
1/4 cawan air bikarbonat ais krim soda
Cara-cara:
Hirisan mangga yang telah dikupas kulitnya dibasuh dan ditoskan. Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk. Hasilnya jeruk mangga menjadi lebih rangup.
Bagi yang suka makan jeruk mangga yang rangup dan enak, anda boleh mencuba resepi-resepi di atas. Tahap masam, manis, masin dan pedas boleh disesuaikan ikut citarasa. Jika sudah cuba, jangan lupa kongsikan dengan kami ya.
Namun begitu, penulis mengingatkan pembaca sekalian agar jangan makan jeruk secara berlebihan. Ia akan mengakibatkan perut menjadi luka iaitu terjadinya gastrik. Paling penting, jangan makan ketika perut kosong.
Anda juga boleh mencuba sosej homemade dan ais krim vanila. Malahan, terdapat pelbagai jenis resepi dan tips yang boleh dicuba oleh para pembaca di bidadari.my. Selamat mencuba!