Dalam perkahwinan masyarakat Melayu, bunga manggar digunakan ketika mengiringi pasangan pengantin. Bunga manggar juga digunakan dalam majlis keramaian yang lain di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Selain majlis perkahwinan, bunga manggar digunakan ketika menyambut orang kenamaan, adat istiadat diraja dan sebagainya. Biasanya dalam setiap majlis, 2 batang bunga manggar yang siap dihias cantik akan dipegang oleh lelaki atau wanita ketika berarak.

Bunga manggar yang siap dijual agak mahal bergantung kepada jenis hiasan, kualiti dan material yang digunakan. Hampir kebanyakan majlis perkahwinan yang kita pergi, bunga manggarnya sama saja. Yang berbeza hanyalah warna dan bentuk.

Dalam artikel ni, penulis ingin berkongsi idea DIY tentang cara untuk membuat bunga manggar. Anda boleh gunakan idea ni dalam majlis perkahwinan anda. Selain nampak unik dan cantik, ia akan menarik perhatian tetamu yang datang.

Cara Buat Bunga Manggar DIY

Biasanya, bunga manggar diperbuat daripada berpuluh-puluh batang lidi yang dibalut dengan kertas atau plastik yang berkilat. Plastik tersebut telah dipotong berbentuk juraian. Setelah mengemaskan balutan, lidi akan dicucuk pada betik muda.

Kemudian, sebatang kayu yang panjang dan tegak digunakan untuk mencucuk betik di bahagian atas. Batang tersebut digunakan sebagai pemegang. Bunga manggar jenis ni dah terlalu biasa digunakan sejak zaman-berzaman.

"

Apa kata seiring zaman teknologi yang serba canggih ni, kita tukar idea untuk hasilkan bunga manggar yang lebih kreatif. Anda tak perlu membazir wang untuk menempah lidi bunga manggar. Anda sendiri boleh membuatnya dengan bantuan ahli keluarga.

#1 Menggunakan Gula-Gula

bunga-manggar-diy

Imej via MingguanWanita

Ketika zaman kanak-kanak, penulis suka bermain-main dengan lidi bunga manggar. Sebab utamanya ialah kerana tertarik dengan plastiknya yang berkilau dan berwarna-warni. Rasa-rasanya, sampai sekarang kanak-kanak akan tertarik dengannya.

Setelah habis majlis, biasanya bunga manggar dibiarkan begitu saja. Ada juga yang rosak dikerjakan oleh kanak-kanak. Apa kata anda mencuba cara lain pula. Anda boleh menggunakan plastik atau kertas yang kilat untuk membalut keseluruhan batang lidi.

Tak perlu potong kertas secara rambu-ramba. Setelah itu, ikat gula-gula di sepanjang batang lidi tersebut. Biarkan gula-gula tersebut terjuntai dengan cantiknya. Lepas habis majlis, boleh bagi kepada kanak-kanak yang tentunya teruja nampak gula-gula.

#2 Menggunakan Kapas

Ada pasangan pengantin, lebih-lebih lagi pengantin perempuan yang mengimpikan tema perkahwinan ala-ala fantasi. Misalnya jika pengantin nak tema Frozen atau Alice In Wonderland untuk cipta kelainan, ada boleh cipta bunga manggar salji. Caranya?

Mudah saja. Gunakan kertas berwarna putih untuk membalut lidi. Kemudian, ambil kapas muka dan bentukkan seperti awan dengan pelbagai saiz. Tampalkan pada batang lidi tadi. Pastikan bunga manggar kelihatan sebatang pokok yang dilitupi salji.

Nak nampak lebih cantik, boleh tampal serbuk kilat berwarna silver pada permukaan kapas. Pasti pengantin benar-benar seperti dalam alam fantasi.

#3 Menggunakan Manik Plastik

Cara lain yang boleh dibuat ialah menggunakan manik-manik plastik bersaiz besar yang biasanya digunakan untuk mencantikkan baju. Anda boleh mencarinya di kedai jahit, kedai menjual barangan kraf atau kedai barangan perkahwinan.

Bergantung pada tema, anda perlulah mewarnakan batang lidi tersebut. Cara paling mudah adalah menggunakan penyembur warna. Contohnya tema warna pelamin ialah putih, anda boleh mewarnakan lidi tersebut dengan warna putih.

Kemudian, masukkan manik-manik mengikut warna kegemaran ke dalam lidi tadi. Supaya manik-manik tersebut tak bergerak, anda boleh menggunakan gam. Bagi nampak cantik, anda perlu melebihkan batang lidi.

Setelah habis majlis, bunga manggar ni boleh dijadikan hiasan pasu bunga di rumah.

#4 Manggunakan Bunga Plastik Tiruan

Tak perlu beli bunga tiruan yang mahal-mahal, beli saja di Eco. Pilih warna dan jenis bunga kegemaran, kemudian potong bahagian tangkainya. Daun-daun pada tangkai yang dipotong jangan dibuang.

Batang lidi dibalut menggunakan reben satin. Kemudian, anda perlu melekatkan bunga-bunga tersebut mengikut kreativiti. Jangan lupa tampalkan sekali daun-daun tadi. Nanti, boleh digubah semula dan dihias dalam pasu bunga.

#5 Menggunakan Bunga Kertas

Jika anda mempunyai kemahiran untuk membuat bunga menggunakan kertas atau tisu, inilah masa yang sesuai untuk tunjukkan bakat. Cara buat bunga manggar ni sama saja dengan yang bunga plastik tiruan.

#6 Menggunakan Lampu LED

Zaman sekarang, ada pasangan pengantin yang suka buat majlis kahwin pada waktu malam. Ada yang buat di rumah, dewan, hotel dan sebagainya. Tema bagi majlis kahwin pada waktu malam lazimnya lebih mementingkan faktor pencahayaan.

Oleh itu, apa kata anda buat kelainan dengan menggunakan bunga manggar LED ketika berarak. Pasti tetamu yang hadir terlopong dibuatnya. Selain nampak cantik ketika berarak, limpahan cahaya LED akan buat pasangan pengantin tampak berseri-seri.

Anda boleh membalut batang lidi menggunakan kain satin kerana ia lebih berkilat. Kemudian, balutkan secara kemas wayar lampu LED. Bahagian baterinya boleh disembunyikan ke bahagian batang. Anda boleh meletakkan kotak di atasnya bagi menggantikan buah betik.

Tak perlu balut semua batang lidi dengan LED kerana kosnya agak tinggi. Anda boleh selang-selikan dengan hiasan kristal plastik yang tergantung. Nampak mewah dan eksklusif.

#8 Menggunakan Bulu Burung Unta

Nak cipta kelainan pastinya memerlukan perahan otak. Jangan risau penulis sedia membantu anda. Anda pernah nampak bulu burung unta? Bayangkan bunga manggar anda dibuat daripada bulu burung unta. Sekali tengok, seolah-olah daun pokok kelapa yang melentuk-lentuk.

Anda boleh membelinya secara online. Terdapat pelbagai saiz dan warna di pasaran. Mungkin harganya sedikit mahal kerana bulu burung unta tak mudah nak dapat. Jika guna bulu burung unta, anda boleh terus mencucuknya pada span atau gabus tanpa perlu lidi.

Kesimpulan

Bagaimana dengan idea membuat bunga manggar DIY yang penulis kongsikan ni? Menarik untuk dicuba? Idea-idea ni boleh dipraktikkan ketika majlis perkahwinan anda atau keluarga. Malahan, anda juga boleh jadikan kraf ni sebagai sumber pendapatan.

Selain nampak cantik dan unik, bunga manggar ni boleh digunakan semula sebagai hiasan di rumah. Boleh juga diberikan kepada para tetamu sebagai kenang-kenangan. Jangan lupa mencuba ya! Boleh kongsikan pengalaman anda tu kepada kami.

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.