Asyura berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud sepuluh. Hari Asyura jatuh pada 10 Muharram. Hari Asyura merupakan salah satu daripada hari-hari yang mulia kerana disunatkan berpuasa. Malah terdapat juga amalan-amalan istimewa yang dilakukan pada hari ini. Seperti mana hadis Nabi saw,

Daripada Ibn Abbas ra apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura, beliau berkata:

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya, “Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa pada satu hari di mana Baginda saw lebih istimewakannya berbanding hari-hari yang lain melainkan pada hari ini iaitu hari Asyura.” (HR Bukhari)

rewang bubur asyura

Imej via Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Hulu Kelang

Antara amalan istimewa yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia adalah memasak bubur Asyura. Bubur Asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura.

Bubur Asyura mesti mempunyai 10 jenis ramuan, jikalau lebih atau kurang, maka bubur tersebut bukan Bubur Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia, mempunyai resepi, rasa serta ramuan yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, cara penyediaannya juga berbeza-beza mengikut negeri.

Sejarah Hari Asyura

Hari Asyura dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting dalam sejarah umat Islam, contohnya hari di mana Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun dan musuh-musuh mereka.

Dalam sebuah hadis menyebutkan:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى الهُم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى الهُل بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ نَحْنُ نَصُوْمُهُ تَعْظِيْمًا لَهُ

Maksudnya, Rasulullah saw datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini?”

Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut.” Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu.”

Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kisah Bubur Asyura

Adat memasak Bubur Asyura pada Hari Asyura adalah amalan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Malah, adat ini sering dikaitkan dengan 2 kisah iaitu:

Kisah 1: Kisah bubur Asyura berlaku ketika Nabi Nuh as mengumpul semua makanan yang ada di dalam kapalnya kerana ketiadaan makanan. Lalu jadilah bubur asyura ketika bahtera Nabi Nuh as berlabuh di bukit Judi pada hari Asyura. Baginda menyatakan kepada umatnya, “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang tersisa.”

Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak.

Maka berkatalah Nabi Nuh as, “Masaklah kesemuanya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. Maka terciptalah satu santapan yang lazat. Hidangan itulah yang diberi nama Bubur Asyura. Kemudian Nabi Nuh as memerintahkan untuk diagih-agihkan hidangan tersebut kepada semua yang ada.

Kisah 2: Kisah bubur Asyura berlaku ketika Nabi Muhammad saw dalam suatu peperangan. Oleh kerana tiada bekalan makanan yang mencukupi, Nabi Muhammad saw memerintahkan para sahabat supaya mengumpulkan kesemua makanan lalu menjadikan ia bubur Asyura.

Namun begitu, pengkaji hadis menyatakan bahawa kedua-dua kisah ini berstatus palsu. Menurut Syeikh Dr Basem Faisal al-Jawabirah, dan juga Syeikh Hasan al-Husaini, kisah ini adalah tidak benar bahkan palsu.

Bolehkah Kita Amalkan Memasak Bubur Asyura?

bubur asyura

Imej via Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Hulu Kelang

Memasak Bubur Asyura pada Hari Asyura tidak ada dalil yang khusus. Malah, kisah-kisah berkaitan dengan Bubur Asyura yang kita sering dengar adalah tidak benar.

Namun begitu, dalam konteks Bubur Asyura ini, asasnya adalah hal makanan yakni perihal kehidupan manusia. Sekiranya kita menyediakan Bubur Asyura tanpa mengaitkan adat tradisi ini dengan mana-mana nabi serta tidak mempercayai adanya fadhilat khusus dalam amalan tradisi ini, ia tidak menjadi satu kesalahan. Ini kerana, prinsipnya, tidak ada bida’ah dalam perkara adat budaya kehidupan. Bida’ah hanya terkait dengan perkara ibadah atau penghayatan agama (tadayyun).

Namun begitu, jika makanan serta cara memasak Bubur Asyura dikaitkan dengan agama, hari tertentu, tempat tertentu, dinisbahkan pula kepada peristiwa tertentu, malah mempercayai adanya fadhilat tertertu, sedangkan tidak ada dalil sahih yang boleh disandarkan kepada amalan ini, makai a menjadi suatu bida’ah dan batil.

masak

Imej via travel

Kita boleh sahaja mengadakan apa juga bentuk perkara berkaitan adat selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak mengandungi unsur haram. Apa jenis makanan sekalipun kita boleh cipta, termasuklah bubur. Asalnya sumbernya halal.

Dan sekali-kali tidak mengaitkan perkara ini dengan hal-hal berkaitan agama.

Amalan memasak Bubur Asyura boleh diamalkan sebagai salah satu cara mengeratkan silaturrahim sesama jiran tetangga. Ini kerana, kebiasaannya Bubur Asyura akan dimasak secara bergotong-royong dan kemudiannya akan diagihkan kepada penduduk di kariah.

Jenis Bubur Asyura

Ada terdapat banyak jenis Bubur Asyura mengikut cara dan resepi negeri-negeri. Bubur Asyura utara dan pantai timur lebih menyerupai kuih atau pudding.

Ini kerana, tekstur bubur ini kental dan boleh dipotong seperti kuih tepung talam. Manakala, Bubur Asyura di kawasan pantai barat pula lebih menyerupai bubur lambuk yang penuh dengan rempah ratus, bijirin, kekacang dan sayur.

pantai timur

Bubur Asyura Pantai Timur. Imej via aziekitchen

utara

Bubur Asyura Utara. Imej via fiezwan-syakil

pantai barat

Bubur Asyura Pantai Barat. Imej via kayyana85

Kesimpulan

Amalan memasak Bubur Asyura tidak salah diamalkan selagi mana kita tidak mengaitkan amaan ini dengan amalan agama. Sebenarnya, kita tidak terhad memasak dan makan bubur ini hanya pada Hari Asyura sahaja. Bila-bila masa juga Bubur Asyura boleh dimasak dan dimakan.

Rujukan:

  1. Almanhaj
  2. Abu Anas Madani
  3. Wikipedia
  4. Semak Hadis
  5. Manhaj Islami

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Bubur Asyura yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.