Dalam kisah-kisah kehidupan Rasulullah SAW, terlalu banyak mutiara berkenaan pendidikan anak-anak yang boleh dikutip. Bermula dari sebelum seorang bayi lahir, hinggalah pendidikan anak-anak menjelang remaja. Dari ibadah khusus seperti kepentingan solat kepada anak-anak, hinggalah adab makan yang diajar terus oleh Rasulullah SAW kepada anak-anak.
Hari ini saya ingin berkongsi satu kisah tentang bagaimana Rasulullah SAW mendidik seorang anak agar bersikap amanah.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr Al Mazini RA, dia mengatakan, “Pada suatu ketika, ibuku memerintahkan aku membawa setangkai anggur kepada Rasulullah SAW.
Lalu aku memakan sebahagian anggur itu sebelum aku serahkan kepada baginda. Sesampai di hadapan Rasulullah, maka baginda menjentik telingaku dan mengatakan,”Wahai pengkhianat.”
(Hadis riwayat Bukhari no 5664)
Mungkin bagi sesetengah orang, ada yang akan berkata, “ala, anggur je pun, biar je la, dah budak tu nak makan.”
Rasulullah SAW memang terkenal sebagai seorang yang cukup menyayangi anak-anak, bahkan dalam banyak hadis kita akan dapat lihat betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada anak-anak, terutamanya kedua cucunya dan anak-anak yatim.
Akan tetapi dalam kes ini, ia sedikit berbeza. Walaupun yang tidak sampai kepada Rasulullah itu hanyalah sedikit anggur, tapi Rasulullah ingin mendidik anak itu tentang sikap amanah. Kasih sayang Rasulullah untuk menjadikan anak itu seorang yang bersifat amanah lebih besar dari kasih sayangnya terhadap kepuasan anak itu memakan anggur.
Inilah satu perkara yang kita perlu beri perhatian secara khusus dalam pendidikan anak-anak. Contoh yang biasa berlaku dalam kehidupan kita hari ini, bila anak-anak kita suruh untuk pergi ke kedai bagi membeli beberapa barang keperluan, pastikan anak-anak itu membeli apa yang disuruh sahaja dan memulangkan wang bakinya dengan cukup.
Audit anak-anak dan pesan agar mereka amanah walaupun hanya sepuluh sen. Jika ingin memberi upah, berikan kepada mereka selepas itu. Apa yang penting, adalah sikap amanah mesti diterapkan sejak kecil.
Begitu juga ketika anak-anak kita yang masih kecil pergi ke pasar. Kadang-kadang, ada anak yang mengambil coklat atau buah dan terus memakannya sebelum membayarnya. Walaupun pekedai itu mungkin tidak kisah, tapi pastikan anak-anak kita dididik dengan sifat amanah.
Budayakan mereka meminta izin jika ingin mendapatkan sesuatu. Walaupun buah jambu air yang terjulur di halaman rumah kepunyaan jiran tetangga.
Moga anak-anak kita semuanya akan menjadi orang yang amanah, insya-Allah.