Pernah terfikir bagaimana bayi melihat? Adakah ianya sama seperti manusia dewasa ataupun tidak? Ataupun pernahkan anda terfikir bagaimana cara meransang penglihatan mata mereka secara efektif? Jika ya, teruskan membaca penulisan oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib, Pakar Optometris & Prof Madya, Universiti Kebangsaan Malaysia
……………………………………………………………………………………………………………………….
Penggunaan penglihatan secara maksima adalah penting dalam perkembangan bayi dan kanak-kanak. Bayi dan kanak-kanak berpenglihatan baik akan didapati lebih cepat penggunaan koordinasi mata dan anggota seperti berjalan, duduk dan menari. Sebaliknya bagi kanak-kanak yang tidak dirangsang penglihatannya boleh menyebabkan ianya lambat berjalan dan sukar mencapai objek.
Cara paling mudah dan efektif untuk merangsang penglihatan bayi adalah dengan bermain dengannya. Adalah penting untuk bermain dan berinteraksi dengan bayi dan kanak-kanak dengan menggunakan mainan yang bersesuaian dengan umur bayi.
Telah menjadi lumrah, salah satu persediaan utama untuk menyambut kedatangan bayi adalah dengan mewarnakan bilik tidur bayi atau nurseri dengan warna-warna terang dan garang seperti merah, kuning, hijau dan sebagainya.
Begitu juga dengan barangan-barangan bayi seperti katil dan mainan-mainannya akan dipilih dengan pelbagai warna. Tetapi adakah ini akan memberi stimulasi maksima pada penglihatan bayi anda?
Bayi yang baru lahir didapati keliru dan terganggu dengan apa yang dilihatnya sewaktu membuka mata buat pertama kali menurut seorang ahli psikologi terkenal; William James. Bayi yang baru dilahirkan memiliki otot-otot mata yang sempurna seperti orang dewasa tetapi ketika di awal usia, bayi mungkin belum mampu mengawal otot-otot mata dengan baik menyebabkan objek tidak dapat difokus dengan baik.
Adakalanya bayi terlebih fokus atau kadang kala terkurang fokus menyebabkan objek yang dilihat adalah kabur. Kerja pemfokusan ini menjadi lebih sukar sekiranya jarak objek yang cuba dilihat bayi adalah jauh. Oleh itu anda boleh perhatikan bahawa bayi akan lebih menunjukkan respon sekiranya anda berada pada jarak 7 hingga 10 inci dari wajah bayi.
Ketika bayi berusia 2 bulan, pemfokusan bayi akan bertambah baik namun objek yang mampu dilihat oleh bayi masih tidak sejelas yang dilihat oleh orang dewasa. Ini disebabkan retina dan otak bayi yang menerima signal penglihatan bayi masih belum boleh berfungsi sepenuhnya. Otot mata lebih lengkap tumbesarannya berbanding dengan bahagian retina mata yang lebih kompleks di awal usia bayi.
Akuiti Visual adalah satu nilai yang digunakan untuk merujuk kepada ketajaman penglihatan seseorang. Bagi seseorang dewasa yang normal akuiti visual adalah 6/6 (Baris ke-8 pada Carta Snellen di bawah). Bagi bayi yang baru lahir akuiti visual adalah 6/60 (sila rujuk Carta Snellen). Ini bermakna bayi yang baru lahir hanya akan nampak huruf “E” paling atas pada jarak 6m.
Bayi pada usia 4 bulan seharus boleh melihat separuh dari carta dan ketika bayi berusia 8 bulan, bayi hampir dapat melihat carta sebaik orang dewasa. Oleh itu bayi yang baru lahir hanya dapat melihat dengan mudah wajah anda dan juga tangan dan kakinya sendiri.
Disebabkan penglihatan bayi masih terlalu ‘muda’, bayi lebih senang melihat warna dan corak yang mempunyai kontras tinggi seperti warna hitam dan putih. Warna dan corak hitam putih berkontras setinggi 100% yang ditayangkan dihadapan bayi akan menarik perhatiannya berbanding dengan satu karakter kartun berwarna warni.
Warna dan corak hitam & putih adalah material yang paling mudah untuk dilihat oleh bayi yang baru lahir. Semakin umurnya meningkat barulah bayi pandai membezakan tona-tona warna hitam dan putih sebelum mula dapat menilai warna-warna lain disekelilingnya.
Warna-warna lain juga mampu dilihat oleh bayi sewaktu lahir tetapi untuk membezakan setiap warna mengikut tona adalah sukar kerana reseptor kon di retina masih belum matang sepenuhnya. Walaubagaimanpun penglihatan bayi boleh berkembang sangat cepat, dalam tempoh yang singkat.
Pada usia 2 bulan, bayi sudah boleh membeza banyak warna. Oleh itu jangan hanya tayangkan semua objek dan mainan berwarna putih dan hitam sahaja pada bayi kerana anda mungkin membantutkan pula stimulasi penglihatannya pada warna-warna lain.
Bayi yang baru lahir akan lebih gemar melihat garisan sisi berkontrast tinggi seperti bentuk wajah atau garisan rambut dan wajah. Ketika berusia 2 bulan barulah bayi mula melihat mata, hidung dan mulut ibubapanya. Dan tidak menghairankan jika ketika berusia 5 bulan, bayi sudah pandai membezakan wajah ibubapanya dengan orang asing.
Ketika anda sedang bermain dengan bayi anda, cuba tutup sebelah mata bayi dengan telapak tangan anda dengan cermat. Lihat respons bayi sekiranya dia kelihatan gelisah atau menangis.
Jika bayi kelihatan biasa sahaja ini bermakna mata yang tidak dikatup mempunyai penglihatan yang baik tetapi sekiranya bayi menangis bermakna mata yang tidak dikatup tidak sebaik mata yang dikatup atau tiada penglihatan pada mata itu.
1. Gunakan mainan yang berkontras tinggi seperti hitam dan putih, berkilat atau bercahaya untuk menarik perhatian bayi. Cari mainan yang ringkas dan senang untuk dilihat agar bayi tidak terkeliru seperti bola plastik pelbagai saiz dan warna, kiub, patung biasa tanpa bahagian kompleks. Sekiranya anak anda mempunyai masalah penglihatan atau berpenglihatan terhad gunakan lampu suluh yang dihala dari belakang mainan (aktiviti ini dilakukan dalam bilik gelap) untuk menolong anak anda melihat objek.
Cuba elakkan mainan berbunyi kerana ini akan merangsang deria pendengaran dan bukan deria penglihatan sepenuhnya. Pegang mainan tersebut dihadapan mata bayi dan perhatikan respon. Cuba bawa mainan tadi ke sisi bayi dan perhatikan sama ada matanya mengikut arah tangan anda.
Cuba lihat tempoh bayi memberi respon. Sekiranya terlalu singkat atau tidak menunjukkan respon setelah mencuba dengan pelbagai jenis mainan, kemungkinan penglihatan bayi belum di rangsang dengan sepenuhnya atau pun bayi anda mempunyai masalah penglihatan. Adakalanya bayi hanya respon pada cahaya dari lampu suluh dan bukan mainannya. Bayi mungkin mempunyai masalah penglihatan yang agak serius.
3. Bagi kanak-kanak yang lebih besar, gunakan anak patung untuk melatih penglihatan detail. Suruh anak anda menunjuk di mana mata anak patung atau butang baju anak patung. Ini dapat memastikan tahap akuiti visual kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, sekiranya kanak-kanak dapat melihat dan mengutip nasi atas lantai atau manik-manik dekorasi kuih dengan baik, akuiti visualnya adalah sekurang-kurangnya 6/18.
4. Bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas, perhatikan gerak gerinya ketika menonton televisyen. Adakah anak anda selalu mengecilkan matanya atau mengalih mukanya ke satu arah. Dia mungkin mempunyai ralat refraksi yang tidak dibetulkan.
Jangan sangka kanak-kanak kecil tidak perlu memakai cermin mata, adakalanya kesalahan refraksi bermula dari bayi lagi. Jangan bertangguh untuk membetulkan ralat refraksinya. Kelewatan boleh menyebabkan berlakunya mata malas yang sukar untuk dirawat.
Kredit artikel : Prof Madya Haliza Mutalib