Dalam menggalas tanggungjawab sebagai suami isteri, ibu bapa, anak dan juga pekerja, kita pasti tidak dapat lari daripada masalah, dugaan dan cabaran hidup yang melanda.
Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita mempunyai ‘struggle’ tertentu yang perlu dilalui setiap hari. Masing-masing perlu mencari jalan penyelesaian atau melakukan sesuatu untuk berhadapan dengan ‘struggle’ tersebut.
Percaya atau tidak, kebanyakan anak akan rasa terbeban dengan masalah ibu bapa?
Ya, benar, walaupun ia bukan masalah anak-anak, tetapi pada hakikatnya mereka akan Berasa beban dengan masalah yang ditanggung oleh ibu bapa.
Sebagai ibu bapa, jangan fikir bahawa anak-anak masih kecil, anak tidak tahu, anak OK sahaja, tidak mendengar dan tidak merasa konflik serta pergaduhan kita.
Kanak-kanak sebenarnya berasa terkesan dan mudah untuk memikirkan masalah ibu bapa jika mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka mempunyai masalah tertentu. Terutamanya apabila sesuatu perkara itu didengari oleh mereka atau berlaku di hadapan mereka seperti konflik berpanjangan, bergaduh, bertekak, mempunyai masalah kewangan dan sebagainya.
Dalam hubungan kekeluargaan, setiap ahli keluarga mempunyai ‘tali’ yang menghubungkan antara satu sama lain.
Apabila satu tali yang menghubungkan ibu dan bapa tegang, tanpa disedari, tali yang menghubungkan ibu bapa dengan setiap anak akan turut terkesan dan tegang.
Kesannya kepada anak, anak anak stres – stres sendiri. Stres dalam ‘level’ mereka sendiri dalam keadaan mereka ‘fragile’ dan masih belum matang.
Saya pernah berjumpa anak-anak ini pada usia remaja. Mereka menyimpan rasa serta terfikir-fikir masalah ibu bapa mereka untuk tempoh beberapa tahun itu sejak mereka di usia sekolah rendah.
Ianya agak dahsyat untuk dibayangkan kerana apa yang mereka rasakan mungkin di luar jangkaan kita. Ketahuilah bahawa betapa beratnya beban yang dirasai apabila mereka menanggung masalah orang dewasa yang bukan masalah mereka.
Saranan saya, salah seorang sama ada ibu atau bapa perlu ‘sit down one to one’ dengan anak (terutamanya anak yang besar) untuk menerangkan hasrat kita kepada anak.
Berikut merupakan 3 perkara yang boleh dibincangkan bersama anak-anak :-
Ingatkan anak agar fokus kepada tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah, anak, kakak / abang / adik dan pelajar.
Bercakap secara jelas akan batasan tindakan serta tanggungjawab mereka agar mereka tidak berfikir tentang masalah ibu bapa, bersangka-sangka dan berlebihan menyimpan rasa.
Jika anak benar-benar mahu membantu ibu bapa, yakinkan kepada anak bahawa dengan fokus kepada diri anak ini sendiri sehingga menjadi orang berjaya, ianya sudah mencukupi dan sangat membantu ibu bapa.
Tekankan kepada anak, usah fikirkan masalah orang dewasa, kerana anak-anak belum mencapai kapasiti yang mencukupi untuk mencari solusi isu orang dewasa.
Masalah ibu bapa biar ibu bapa yang selesaikan, kerana ianya adalah ‘level’ orang dewasa untuk menyelesaikan sendiri masalah mereka.
Beritahu kepada anak, jika ibu bapa tahu bahawa emosi anak terbeban dengan masalah ibu bapa, sehingga menyebabkan anak ‘depression’ dan ‘anxiety’ berlebihan (murung, sedih dan bimbang berlebihan), ibu bapa akan berasa lebih bimbang, bersalah dan turut menambah isu yang perlu di‘tackle’ dalam kehidupan ibu bapa.
Ibu bapa sekalian, jangan lupa untuk memohon maaf kepada anak kerana telah membuat anak-anak berasa terkesan dengan masalah ibu bapa.
Contoh ayat untuk memohon maaf kepada anak :
“Maaf, kerana anak-anak terkesan. Mama / Papa juga tidak mahu perkara ini berlaku. Namun abang / kakak / adik usah risau, kerana Mama / Papa akan berusaha sedaya upaya untuk selesaikan masalah Mama / Papa.”
Kita semua manusia biasa, pasti akan membuat kesilapan termasuk kesilapan yang melibatkan anak-anak.
Memohon maaf kepada anak tidak menjatuhkan maruah kita sebagai ibu bapa. Malah anak-anak akan lebih menghormati kita atas tindakan kita yang berani mengakui kesilapan.
Akhir kata, sentiasa refleksi diri kita setiap hari untuk setiap tindakan kita. Cari punca sebenar dan solusi yang realistik dalam menyelesaikan sesuatu perkara tersebut.
‘The struggle is real’. Laluinya dengan tabah dan sabar. Sentiasa berdoa kepada Allah agar Allah memberikan bantuan dalam segala urusan kita dan anak-anak.
Semoga kita semua dikurniakan Allah ilham terbaik bagi menyelesaikan apa jua dugaan dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan berkeluarga ini.