Sememangnya naluri kanak-kanak suka meminta ibu bapa barang yang menarik minat mereka. Kita sebagai ibu bapa, pasti akan berusaha memenuhi segala permintaan mereka demi kasih dan sayang pada mereka. Tetapi ada kalanya, tidak semua permintaan tersebut dapat kita penuhi.
Ada anak-anak yang jenis mendengar kata dan dapat menerima sekiranya ibu bapa mereka menolak permintaan tersebut dengan baik. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak yang sering terdorong untuk merajuk dan mengamuk selagi ibu bapa tidak menurut kemahuan mereka?
Ada ibu bapa yang menurutkan sahaja kemahuan mereka kerana tidak mahu mengeruhkan suasana – terutamanya apabila kejadian ini terpaksa dihadapi ditempat awam. Bimbang dikatakan sebagai ibu bapa yang tidak pandai mendidik anak.
Tetapi tahukah anda, keadaan ini akan menggalakkan lagi anak-anak untuk merajuk dan mengamuk di masa hadapan? Anak-anak akan membina satu bentuk pemikiran bahawa “dengan hanya merajuk dan mengamuk, saya pasti akan dapat apa yang saya mahu”.
Jadi bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini? Perkara utama untuk setiap ibu bapa tahu adalah, mengapa sebenarnya anak-anak suka merajuk? Dengan memahami faktor utama ini, inshaAllah lebih mudah untuk kita mengawal keadaan tersebut setiap kali berlaku.
Mari ikuti tulisan Prof. Dr. Rozieta Shaary berkenaan anak yang suka merajuk apabila kemahuan mereka tidak diikut. Semoga tulisan beliau mampu memberi manfaat dan panduan kepada ibu bapa dalam membentuk institusi kekeluargaan yang harmoni.
Pertama ibu bapa janganlah takut anak itu merajuk. Merajuk ini adalah cara anak berlawan kuasa dengan anda. Kalau anda tidak bijak dan anda hanya menggunakan senjata marah, maka anda senang kalah.
Selalunya anak yang suka merajuk ni dia ni sensitif. Dari kecil umur tak sampai setahun kita boleh tahu akan karekternya itu. Semasa dia kecil lagi, bila dia merajuk, anda perlu bisikkan kepadanya untuk usahlah merajuk. Kalau tak dapat benda tak perlu merajuk.
Kalau dia tunjuk perangai, jawab dengan tenang dan biarkan dia ekspres dirinya. Jika dia baling barang, biarkan dulu. Tapi biar barang yang bahaya tiada di situ. Bila sudah dia dah lebih tenang sikit, ambik dan peluk dan beritahu dia, kenapa anda tak boleh beri barang itu. Cara ini untuk anak di bawah 1.5 tahun.
Bila dia dah 1.5 tahun, anak sudah mula mengamuk atau tantrum. Tantrum ini lebih kerana ledakan emosi yang tidak dikendalikan dengan elok. Contoh kekecewaan, kesedihan, penat, tidak cukup tidur, tidak faham kenapa dimarah, tenaga tengking yang diterima, TIDAK CUKUP BERMAIN AKTIF TERUTAMA DI LUAR RUMAH, tidak boleh melakukan banyak perkara kerana dilarang atau kerana badannya belum cukup besar. dan banyak lagi.
Bila ledakan emosi ini berlaku, anak akan mengamuk dan seolah-olah monster akan keluar dari diri anak itu. Anda perlu tahu, anak itu sendiri takut bila ini berlaku. Oleh itu, apa yang anda boleh buat ialah menenangkannya. Walaupun dia meronta dan memukul anda, peluklah dan bacakan ayat dan bersuara dengan berbisik ke telinganya.
Katakanlah perkara yang positif dan bacakan doa. Lepas dia sudah tenang, basuhkan mukanya dengan air yang telah dibaca doa mengikut kaedah agama masing-masing. Mandikan lagi elok dan beri dia tidur kerana semasa dia ‘bergelut’ dengan monster dia itu, dia amat letih.
Semoga Allah memudahkan kita di dalam mendidik anak-anak kita.
Bila anak sudah 5 tahun dan masih suka merajuk dan mengamuk, memukul orang, menyakitkan orang, ini petanda semasa anak itu mengamuk semasa dia kecil, emosi amuk itu tidak dikendalikan dengan baik.
Ibu bapa hanya menggunakan kaedah marah dan tengking untuk senyapkan anak. Pada masa itu anak memang senyap, tapi emosi itu tidak dilepaskan dengan baik. Oleh itu anda akan mendapati anak ini mengamuk dengan lebih kuat dan mula ada ciri-ciri degil dan mungkin mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.
Ini petanda hati anak ini sudah banyak terluka dan dia sudah banyak merasakan tidak dikasihi. Jika ini berlaku, anda perlu mengatur langkah membetulkan pesepsinya.
Di sini anda perlu bijak dan mengawal marah namun anda perlu tegas dan perlu mendisplinkan anak itu. Kerana anak ini sudah terluka disebabkan banyak kekecewaan terutamanya di dalam perhubungan diantara dia dan anda atau pasangan anda, perkara itu perlu dibetulkan.
Pada usia ini, anak itu mungkin akan mengatakan rasa hatinya, bahawa dia tidak dikasihi.
Jika ini berlaku, tarik nafas dan duduk di sebelah anak itu dan tenangkan hatinya dan cari punca yang menyebabkan dia merasakan dia tidak lagi dikasihi.
Kadang-kadang puncanya mungkin semudah anda sudah tidak memandikannya dan menyuruh dia mandi sendiri. Terutama sekarang sudah ada adik baru. Ini kita namakan salah faham. Maka selesaikanlah salah faham ini.
Walaupun bila anak merajuk dan mengamuk kita perlu membetulkan anak dengan kelembutan, adakalanya semasa ini, kerana jeritannya begitu kuat dan membaling barang tidak mengikut kira, maka jika perlu anda boleh meninggikan suara untuk mendapatkan perhatiannya, siapa yang memimpin di sini.
>Namun, bila meninggikan suara, lihat mata anak itu dengan kelembutan kasih-sayang. Dalam hati anda boleh berkata kepada hati, ‘aku meninggikan suara kepada anakku ini kerana aku sayang kepadanya dan aku perlu mengawal keadaan ini dan memimpinnya dengan baik Aku sayang anak ku ini’.
Mengapa anda mahu mengatakan di dalam hati demikian? Kerana ini membentuk niat dan ini membantu anda memastikan bahawa bila suara kuat itu keluar, ianya keluar dengan tenaga kasih-sayang yang menerjah masuk ke hati anak yang terluka itu dan menjadikan hati itu menerima tenaga kasih-sayang itu.
Inilah diantara cara kita mengawal keadaan dengan tegas dan penuh kasih-sayang. Kata kunci ialah pandang dengan kasih sayang. Anda perlu ‘take control’ dengan ‘tough love’.
Jika anak itu ditengking dan dimarah atau bila dia merajuk diturutkan semua kehendaknya. Pada usia ini, anak itu sudah tahu dia mempunyai kuasa ke atas ibu bapanya dan ibu bapa boleh diatur-atur olehnya. Ini sangat merbahaya kerana anak itu boleh menjadi seperti ‘Anakku Sazali’.
Mengapa ini boleh berlaku, kerana bila anak meminta sesuatu, semua permintaannya dipenuhi walaupun ada yang tidak baik untuknya dan anda telah mengatakan tidak boleh, namun sebab hendak anak berhenti membaling barang, anda ambil jalan singkat, ikutkan saja kehendak anak itu.
Kata kunci di sini, BERTINDAK SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN dan bukan seorang yang mudah dimanipulasikan.
Di sini ada satu faktor baru dimasuk kira. Anak pada usia 7 tahun mula memasuki alam persekolahan. Yang membawa makna, tekanan dari luar mula dirasai oleh anak.
Ada anak yang tertekan dengan dunia persekolahan kerana perubahan yang besar dalam hidupnya. Walaupun anak itu telah pergi tadika, sekolah dan tadika tidak sama.
Anak ini mungkin akan merajuk dan mengamuk lebih lagi. kebanyakannya kerana keletihan dan yang juga sama berat pada anak itu, cuba menyesuaikan diri. -trying to fit in. Ini sebenarnya berat untuk seorang anak yang personalitinya tidak suka ramai orang.
Oleh itu, seeloknya anda telah menyediakannya. Namun, walaupun sudah disediakan, mungkin akan ada juga percikan itu. Oleh itu jika terjadi episod merajuk dan mengamuk, anda perlu menggunakan kaedah merapati anak itu supaya anak itu berasa selamat dengan anda.
Sebenarnya, bila anda memberi ruang anak itu untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya, dan anda mendengar dengan baik, anda sebenarnya sedang membina jambatan emas dari hatinya ke hati anda.
Ini adalah persiapan untuk zaman remaja anak itu. Jambatan emas ini menjadi yang menghubungkan dia dan anda dengan baik seperti kawan baik. Ini sangat penting pada zaman remaja anak itu.
Pada usia ini, penerangan yang jelas mengenai boundaries atau had laku perlu sangat diberi. Serta disiplin yang baik perlu dipraktikkan kepada anak itu. Jangan semua rajuknya diikutkan dan amuknya dibiar.
Ada masa kita biarkan dia ekspres dirinya. Namun, banyak masa, kita perlu step in dan kawal amukannya itu. Anak perlu tahu dia boleh berharap dengan anda ibu bapanya membetulkan keadaan.
Kita mesti sedar, anak pada usia di bawah 7 tahun malah 10 tahun pun, tidak tahu dengan sepenuhnya apa yang baik dan apa yang buruk. Apatah lagi jika mereka tidak diajar bertanggung-jawab terhadap diri, (ownership), mereka akan meminta perkara-perkara yang merbahayakan diri mereka. Contohnya, hendak membeli game perang dan keganasan. Menangis meronta-ronta hendakkan game itu. Sudahlah mahal, yang bermaksud ibu bapa perlu mengeluarkan duit lebih, ditambah pula bila bermain game tersebut dan menjadi asyik, otak anak akan nyahsensitif kepada keganasan. Mereka melihat keganasan, mereka tidak berasa apa-apa. Malah, mereka pula menjadi ganas.
Ingat, pada usia mana pun anak itu, tidak semua rajuknya perlu dipujuk dan diikutkan. Namun, itu bukan bermaksud anda perlu marah dan tengking. Anda hanya perlu TEGAS dan jangan berganjak dengan apa yang telah diputuskan kecuali jika berubahnya keadaan.
Ini pun janganlah menjadikan ianya tabiat. Kalau anda selalu mengubah TIDAK dan YA anda. Ketidaktegasan anda boleh dirasai oleh anak dan boleh dimanipulasikan olehnya.
Kata kunci di sini, YOU ARE THEIR ROCK. Anda dinding tegap untuk anak boleh bersandar. ANDA MEMIMPIN DENGAN KETEGASAN DAN KASIH-SAYANG.
Kredit artikel sepenuhnya: Prof. Dr. Rozieta Shaary
Kredit gambar: Pedro Klien, Debs1968, Mindaugas Danys