‘Midline’ merupakan garisan tengah imaginasi (imaginary line) yang membahagikan anggota badan di bahagian tengah kepada bahagian kanan dan bahagian kiri.

‘Midline crossing’ atau ‘crossing the midline’ pula adalah kemampuan seseorang untuk bergerak secara spontan, ketika melakukan sesuatu perkara yang memerlukannya merentasi bahagian tengah anggota badan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang menggunakan tangan kanan sebagai tangan dominan, dia seharusnya boleh menggunakan tangan tersebut untuk melakukan sesuatu perkara atau mencapai sesuatu barang yang berada di sebelah kiri badannya.

Foto Kredit : verywell.com

KEPENTINGAN ‘MIDLINE CROSSING’

Dari segi kognitif, ‘midline crossing’ yang baik menunjukkan komunikasi dan koordinasi yang baik antara otak kanan dan otak kiri dalam melakukan sesuatu.

Dari segi fizikal, ‘midline crossing’ adalah sangat penting untuk memastikan anak tidak tersekat (stuck) di bahagian tengah badan mereka ketika ingin melakukan sesuatu perkara, sehingga menyebabkan mereka perlu bertukar tangan untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Ianya juga penting bagi memastikan anak dapat menggerakkan badan mereka ke bahagian berlawanan untuk melakukan sesuatu perkara.

Dengan ini, kemahiran motor halus dan motor kasar anggota badan yang dominan ini akan berkembang dengan sangat baik untuk berfungsi sebagai anggota dominan yang benar-benar kuat.

Selain itu, ‘midline crossing’ juga mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan anak-anak termasuk dari segi menulis, mewarna, menggunting, menggunakan alatan ketika makan, bermain bola dengan tangan atau kaki, dan sebagainya.

Foto Kredit : pinterest.com

5 AKTIVITI  ‘MIDLINE CROSSING’ MUDAH UNTUK ANAK

Berikut merupakan 5 cadangan aktiviti mudah bagi melatih anak-anak dalam membantu perkembangan ‘midline crossing’ ini. Semoga ianya bermanfaat dan dapat kita praktikkan bersama anak-anak.

1. SENTUH ANGGOTA BADAN MENGIKUT ARAHAN

Aktiviti ini cukup mudah untuk dilakukan kerana ianya tidak memerlukan sebarang peralatan.

Anak hanya perlu mendengar arahan ibu atau ayah, kemudian anak perlu menyentuh anggota badan mengikut arahan ibu atau ayah sebentar tadi.

Bagi membantu perkembangan ‘midline crossing’ anak, anggota badan yang perlu disentuh oleh mereka seharusnya merentasi bahagian anggota badan berlawanan.

Foto Kredit : wellandhealthy.net

2. TULIS NOMBOR 8 SECARA MELINTANG

Minta anak menulis nombor 8 dengan saiz yang besar secara melintang sama ada di atas kertas, papan hitam atau papan putih.

Dengan cara ini, ianya dapat melatih tangan dominan yang digunakan untuk menulis itu, merentasi bahagian anggota badan yang kurang dominan, tanpa menukar tangan untuk menulis di bahagian anggota badan yang kurang dominan tersebut.

3. ‘STEP ON THE PAPERS’

Aktiviti ini hanya memerlukan dua helai kertas yang dilekatkan di atas lantai.

Anak perlu mula berdiri di tengah-tengah antara dua kertas tersebut, dan kemudian minta anak gerakkan sebelah kaki sahaja untuk memijak kedua-dua helai kertas secara bergilir-gilir. Selepas itu, teruskan aktiviti ini dengan sebelah lagi kaki dan ulang aktiviti ini beberapa kali.

Melalui aktiviti ini, kedua-dua bahagian kaki anak akan dapat merentasi garisan tengah (crossing the midline) dan ia dapat melatih anak untuk menggerakkan kaki mereka ke bahagian anggota badan yang berlawanan.

4. BERMAIN KAD

Ibu bapa boleh memilih untuk bermain ‘memory game’ atau ‘matching game’ dengan menggunakan kad bersama anak-anak.

Susun kad di atas meja atau di atas lantai dan perhatikan sama ada anak menggunakan tangan dominan atau tangan yang sebaliknya untuk mengambil kad di bahagian anggota yang kurang dominan.

Sekiranya kad tersebut diambil dengan menggunakan tangan yang kurang dominan, bantu anak untuk mengambilnya dengan menggunakan tangan dominan.

5. BERMAIN KERETA MAINAN DI TREK

DIY trek kereta yang besar serta mempunyai banyak simpang dengan menggunakan pita pelekat untuk anak bermain kereta mainan.

Ketika bermain, anak perlu menggunakan tangan dominan terutamanya apabila anak ingin menggerakkan kereta tersebut ke arah bahagian badan yang bukan dominan.

Foto Kredit : dianliwenmi.com

BANTU DAN BERI GALAKAN

Terdapat pelbagai lagi aktiviti dan tugasan harian yang boleh dilakukan bersama-sama anak dalam membantu perkembangan ‘midline crossing’ mereka.

Aktiviti-aktiviti sebegini mungkin bukan perkara yang mudah untuk dilakukan oleh anak. Walau bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa membantu dan memberi galakan kepada mereka agar mereka terus bersemangat untuk meneruskan perkara tersebut.

Lakukannya secara santai agar objektif aktiviti-aktiviti ini tercapai dalam suasana yang cukup gembira dan menyeronokkan.

Semoga dengan kesabaran kita melatih anak-anak, ianya dapat membantu tahap perkembangan mereka dan meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka kelak.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.