Jom kita baca artikel tentang akhlak Rasulullah kekasih Allah ini.
Nabi Muhammad SAW dilahirkan dengan memenuhi kemuliaan akhlak serta menjadi contoh teladan kepada seluruh umat manusia. Baginda SAW mempunyai peribadi yang sangat luar biasa. Malah Allah SWT telah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia yang berbudi pekerti luhur serta Baginda mempunyai akhlak sebaik-baik manusia.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.”
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sebagai umatnya, semua akhlak Baginda sangat dituntut untuk diikuti dalam kehidupan seharian. Terlalu banyak akhlak Baginda yang baik untuk diikuti, antaranya adalah:
#1 Jujur dan amanah
Rasulullah SAW sorang yang sangat jujur dari usianya kanak-kanak lagi sehinggalah ke akhir hayat Baginda, sehinggakan Baginda digelar sebagai ‘al-amin’ yang bermaksud ‘dapat dipercayai’.
Antara buktinya, semasa menjalani perniagaan, Baginda terkenal sebagai seorang peniaga yang jujur dan amanah yang disukai oleh ramai orang.
#2 Pemaaf
Sikap pemaaf Baginda selain tidak berdendam sangat ketara. Terutamanya dalam usaha dakwah Baginda terhadap masyarakat Mekah, Bgainda banyak menerima hentaman makian dan cacian serta menyumpah seranah Baginda. Selain itu pelbagai ugutan untuk mencederakan dan membunuh Baginda namun baginda tetap tidak menyimpan marah serta dendam kepada pelaku tersebut.
Semasa berdakwah di Taif, Nabi Muhammad SAW mengalami cedera akibat dituju batu oleh penduduknya, tetapi tidak terdetik pun ke atas hati Baginda untuk membalas balik perbuatan itu walau ditawarkan oleh malaikat untuk menjatuhkan gunung atas penduduknya. Namun Baginda menolak bahkan mendoakan kesejahteraan kepada mereka pula.
#3 Tawaduk
Rasulullah SAW mempunyai sikap tawadduk yang tinggi dalam setiap aspek termasuklah dalam percakapan, tingkah laku, perbuatan serta keseluruhan kehidupan Baginda.
Abu Sa’id al-Khudri mengatakan:
“Rasulullah SAW memberi makan dan memandikan unta, menyapu rumah, memerah susu kambing, menjahit sepatu, menampal baju, makan bersama pelayan, menggiling biji-bijian, membeli sesuatu dari pasar kemudian dibawa sendiri ke rumahnya. Menyalami tangan orang yang kaya, miskin, besar dan kecil. Mengucapkan salam pertama kali kepada orang yang dilihatnya, baik tua atau pun muda, hitam ataupun putih, budak atau merdeka.”
Baginda SAW juga berjalan tanpa memakai alas kaki serta menunggangi apa-apa sahaja seperti kuda, unta tanpa mengutamakan kedudukannya.
#4 Pemurah
Tidak ada sesiapapun yang mampu menandingi sikap pemurahnya Rasulullah SAW.
Diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah pernah menolak apa-apa permintaan daripada sesiapapun yang meminta dari Baginda, termasuklah jika Bagninda tidak mempunyai apa-apapun. Jika Baginda mempunyai sedikit atau banyak wang mahupun harta semuanya diagihkan kepada sesiapa yang layak.
#5 Merendah Diri
Baginda SAW tidak pernah sesekali menolak apa-apa pelawaan atau jemputan sama ada dari golongan bangsawan mahupun rakyat biasa. Baginda juga gemar makan bersama sesiapa sahaja termasuklah golongan hamba, bahkan Baginda sangat membenci perbuatan orang yang berdiri hormat apabila bertemu Baginda.
Nabi Muhammad SAW juga gemar duduk serta bergurau bersama para sahabat tanpa membeza-bezakan mereka. Walaupun bergelar pemimpin tertinggi, kehidupan Baginda juga sederhana dan tetap berpakaian ringkas serta tidak mengamalkan kehidupan yang mewah.
#6 Sentiasa Bersangka Baik
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Jauhkanlah dirimu dari prasangka buruk, karena sesungguhnya prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Baginda SAW sendiri seorang yang selalu bersangka baik, serta sering mengajak semua muslim untuk mendahuli sangka baik iaitu dengan menjauhi sifat buruk sangka kepada orang lain.
#7 Berani
Dalam aspek keberanian Rasulullah SAW memang tidak boleh disangkal lagi. Baginda adalah sebagai ketua panglima dalam mengetuia peperangan menentang musuh Islam. Baginda juga akan berada di barisan paling hadapan dan hampir dengan musuh di setiap kali peperangan dan muncul sebagai pemberani melebihi sesiapa pun.
Saidina Ali r.a. berkata;
“Sesungguhnya engkau melihat aku pada hari Perang Badar. Kami berlindung dengan Nabi SAW dan baginda yang paling terdekat kepada musuh dari kami. Dan baginda pada hari itu di antara manusia yang sangat perkasa.”
#8 Melakukan Amal Ma’ruf Nahi Munkar
Amar makruf nahi mungkar adalah perintah untuk menegakkan perkara yang benar dan melarang perbuatan yang salah. Sesungguh Rasulullah SAW diutuskan bagi membetulkan kesalahan manusia dan mengajak melakukan kebaikan.
#9 Menjaga Pandangan
Nabi Muhamamd SAW seorang yang sangat menjaga pandangan, bahkan akan mengelakaan diri daripada perkara yang dimurkai Allah SAW. Bahkan akhlak Baginda sendiri seorang yang mulia dah jauh dari pandangan-pandangan yang buruk dan hina.
Rasulullah SAW menjamin golongan yang menjaga pandangan mereka akan memasuki syurga.
Abu Umamah berkata,
“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Berilah jaminan padaku enam perkara, maka aku jamin bagi kalian syurga. Jika salah seorang kalian berkata maka janganlah berdusta, dan jika diberi amanah janganlah berkhianat, dan jika dia berjanji janganlah menyelisihinya, dan tundukkanlah pandangan kalian, cegahlah tangan-tangan kalian (dari menyakiti orang lain), dan jagalah kemaluan kalian.”
#10 Bersabar dan Tabah
Dari Baginda kecil lagi, Allah SWT telah mendidik Nabi Muhammad SAW dengan sifat tabah dan sabar. Baginda telah kehilangan ibu bapa serta datuknya pada usia kecil yang menuntutnya untuk menjadi seorang yang kuat semangat.
Sehinggalah apabila Baginda dewasa dan diangkat menjadi Rasul, semakin banyak dugaan yang Baginda hadapi dan diharungi dengan ketabahan yang tinggi. Dapat dilihat dalam usaha dakwahnya bagaimana Baginda menghadapi cabaran, dihina, dicaci dan difitnah termasuklah dilukai serta pelbagai lagi.
#11 Merendah Diri dan Peramah
Rasulullah SAW sangat merendah diri walau berhadapan dengan denagn semua golongan termasuk para pembesar atau golongan hamba sahaya. Baginda juga seorang yang menghargai tetamu serta bersikap terbuka dengan sesiapapun baginda berjumpa.
Abu Nu’aim meriwayatkan dari Anas r.a yang berkata,
“Bahawa Rasulullah SAW adalah termasuk orang yang lemah-lembut. Demi Allah, Baginda tidak menolak ketika hamba lelaki mahupun perempuan atau anak kecil yang memberi air, meskipun pada pagi hari yang sangat dingin, Baginda tetap membasuh muka dan kedua lengannya. Bila ada yang bertanya, baginda mendekatkan telinganya. Baginda tidak akan menghentikan sebelum orang yang bertanya habis bertanya. Tidak seorang pun menerima huluran tangan Baginda kecuali Baginda yang menghulurkannya terlebih dahulu untuk bersalam dan baginda tidak akan melepaskannya sebelum orang itu melepaskan tangannya terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)
#12 Lembut Tetapi Tegas
Baginda SAW memiliki sifat lemah lembut yang cukup sempurna. Namun tetap tegas dalam hal-hal yang sepatutnya. Begitu juga apabila Baginda marah, marahnya adalah untuk menegakkan kebenaran dan menghindarkan hal haram. Namun, sangat susah untuk Baginda berdendam, sedangkan wanita yahudi yang ingin meracuninya pun dimaafkan dan dilepaskannya.
#13 Zuhud
Walaupun Baginda sebenarnya boleh meminta apa-apa sahaja daripada Allah SWT, termasuklah kekakayaan atau harta benda yang banyak tetapi Baginda lebih suka hidup dalam sederhana atau dengan apa-apa yang ada sahaja.
Begitu juga selepas Baginda dilantik menjadi rasul, atau pemimpin besar umat Islam ketika itu Baginda tetap menahan lapar serta menjalani kehidupan yang seadanya. Bahkan Rasulullah SAW tak pernah merungut atau meminta-minta kepada sesiapa dari kalangann sahabatnya yang kaya-raya.
#14 Mengutamakan Musyawarah
Rasulullah SAW sangat menyukai musyawarah dan akan berbincang dengan para sahabat mengenai semua hal dan masalah negara. Baginda juga akan menerima dan meraikan setiap pendapat dan tidak membuat sesuatu keputusan sendiri.
Saidatina Aisyah r.a berkata:
“Aku tidak melihat seseorang yang lebih banyak bermusyawwarah selain daripada Rasulullah SAW.”
#15 Melayani Setiap Orang Dengan Baik
Rasulullah SAW tidak memilih kedudukan dalam melayani sesiapapun, setiap orang dilayan dengan baik walaupun dari golongan hamba sahaya. Disebabkan itu Baginda sangat disayangi oleh golongan miskin dan kaya.
#16 Layanan Baik Terhadap Isteri
Rasulullah SAW juga seorang yang sangat romantis serta pandai memujuk isteri-isterinya. Selain bersikap adil, Baginda juga sering menunjukkan kasih syaang terhadapa mereka.
Baginda bijak menghiburkan mereka jika terdapat isterinya yang mencemburui satu sama lain. Sehinggalah mereka berasa lapang dan tenang.
Aisyah r.a berkata,
“Aku belum pernah melihat orang membuat makanan seperti yang dibuat oleh Shafiyah. Ketika ia sedang berada di rumahku, dia membuat makanan untuk Rasulullah SAW. Tiba-tiba badanku bergetar, sehingga menggigil kerana dibakar rasa cemburu. Mangkuk Shafiyah aku pecahkan, tetapi kemudian aku merasa menyesal. Segera aku katakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, apakah kafarah perbuatanku tadi?” Baginda menjawab, “Mangkuk sama dengan mangkuk, makanan sama dengan makanan.”
(Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)
#17 Adil
Sikap adil Rasulullah SAW sangat jelas terutamanya ketika Baginda menjadi pemimpin umat Islam. Baginda tidak berat pada mana-mana pihak walau dari kalangan kaumnya sendiri. Begitu juga dalam pembahagian harta perang dan sebagainya,
Begitu juga keadilan terhadap para isterinya. Baginda SAW tidak pernah lalai dalam membahagikan giliran bermalam antara isteri-isteri Baginda.
#18 Berkelakuan Baik Dalam Bersahabat
Dalam bersahabat, Baginda SAW sentiasa berbicara dengan lemah lembut, tidak pernah berkasar. Baginda akan tersenyum jika sahabatnya tersenyum. Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya dan memuji sesuatu yang baik dan membenci sesuatu yang buruk. Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira), baik budi pekerti, sentiasa ramah-tamah, tidak bengis terhadap seseorang.
Selain itu, Baginda juga tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka berolok-olok dan selalu melupakan perkara yang tidak disukainya, dan tidak pernah menolak permintaan seseorang yang meminta.
Baginda Nabi SAW juga tidak pernah mencela, mencari kesalahan orang lain, serta tidak akan bercakap sesuatu perkara yang tidak berfaedah. Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang lain sehinggalah orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya.
#19 Menghormati Jiran
Rasulullah SAW sangat menghormati jiran tetangganya walaupun ada dalam kalangan mereka bukan beragama Islam, bahkan ada yang menentang dakwah Baginda sehingga bersikap kasar terhadap Baginda, namun Baginda SAW membalas dengan kebaikan dan melayani mereka seperti saudara maranya sendiri.
#20 Gemar Memberi dan Menjawab Salam
Mengucapkan salam hukumnnya adalah sunnah dan menjawab salam wajib hukumnya. Baginda Rasulullah SAW sangat gemar memulakan memberi salam tidak kiralah kepada sesiapa yang ditemui Baginda.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan tidak dikatakan beriman sebelum kalian saling mencintai. Salah satu bentuk kecintaan adalah menebar salam antara sesama muslim.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Penutup: Akhlak Nabi Muhammad SAW mestilah diteladani oleh umat Baginda.
Akhlak mulia Baginda SAW sangat indah dalam setiap aspek kehidupan Baginda, sebagai seorang suami, bapa, sahabat, pemimpin dan sebagainya. Bahkan kerana akhlak bagindalah, ramai yang menjadi senang dan tenang walaupun ketika marah.
Saad Ibnu Hisyam r.a meriwayatkan beliau pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a mengenai akhlak Rasulullah SAW. Ummul Mukminin itu menjawab:
“Akhlaknya adalah al-Quran.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Tidaklah hal yang mudah untuk mengikuti akhlak Rasulullah SAW sepenuhnya, namun adalah sangat baik untuk mencontohi perlakuan Nabi sedaya yang kita mampu. Malah meninggalkan kelakuan buruk juga sudah memadai.
Hakikatnya, mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW merupakan usaha untuk mendapat kedudukan mulia di mata masyarakat dan di sisi Allah SWT. Bahkan usaha untuk meninggakan perbuatan jahat juga merupakan satu mujahadah yang disukai Allah SWT yang diberikan ganjaran yang tersendiri.
Jemput juga membaca artikel menarik yang lain, Akhlak Rasulullah Dalam Mendidik Anak dan Sifat Negatif
Rujukan: