Nota Editor : Isu ini naik dengan hangat beberapa bulan lepas. Ramai ibubapa mula berjaga-jaga dan semakin peka dengan golongan ‘pelik’ ini. Artikel ini menerangkan lebih jelas tentang masalah pedofilia ini.

________________________________________________________

Saya menahan diri dari berbicara soal ini ketika berita tentang isu ini hangat baru-baru ini. Benar, ada individu yang telah didapati bersalah. Namun saya merasakan,di sebalik kes ini, ada hati dan maruah sebuah keluarga yang perlu diambil kira.

Pedofiliacatholiclane.com

Banyak yang kita dengar dari berita, tapi saya percaya banyak lagi cerita, khabar dan maklumat yang kita tidak tahu.

Menghina dan mengkeji individu terbabit tidak mengubah apa-apa. Lebih-lebih lagi apabila hinaan itu ditambah dengan emosi dan sangka buruk yang direka-reka. Apa yang pasti, dari sudut perbuatan, biar hukuman menjadi permulaan agar individu terbabit menemui jalan baru dalam kehidupan.

Saya melihat isu ini lebih dari sudut sebagai peluang mendidik masyarakat tentang isu yang lebih besar. Pedofilia ialah kondisi yang sebenarnya tidak banyak diketahui. Biarpun ada terdapat kajian mengenainya, siapa mereka, mengapa mereka melakukannya, apa tanda-tandanya; semua itu tidak menggambarkan sepenuhnya disebalik perbuatan luar tabie ini.

Ini kerana, mereka yang ‘dikaji’ tidak sampai 5 peratus dari pelaku sebenar. 5 peratus yang dihadap ke muka pengadilan ini tidak menggambarkan 95 peratus lagi pelaku yang bersembunyi dalam alam realiti ‘kenormalan’.

Para pengkaji juga ada yang berbeza pendapat. Ada yang mengkategorikannya sebagai ‘sexual interest’ iaitu pilihan gaya hidup seksual seseorang, ada yang menggangapnya termasuk dalam obsesi (gangguan fikiran dalam bentuk keinginan yang datang berulang dan sukar dikawal), ada yang menganggapnya sebagai sejenis ketagihan (behavioural addiction) dan ada juga yang menganggapnya sebagai gejala nafsu.

Diagnostic and Statictical Manual of Mental Disorders (DSM 5) mendefinasikan ‘pedophilic disorder’ sebagai kecenderungan seksual yang kuat terhadap kanak-kanak pra-baligh (13 tahun kebawah).

Ia boleh datang dalam bentuk fantasi seksual, keinginan, atau tingkah laku seksual. Ini menjadikan kebanyakkan pedofil tidak di kesan. Ini kerana ramai yang menyembunyikan kecenderungan dan menghadkannya pada fantasi dan keinginan. Kewujudan alam maya siber menjadikan gejala ini sebagai bahaya yang ‘tersembunyi’.

Kenapa Mereka Menjadi Pedofil?

Nafsu – mungkin ia jalan termudah menjawab ‘misteri’ pelaku ini. Namun saya suka melihatnya pada perspektif yang lebih menyeluruh agar kita dapat mengetahui bahawa ada sesuatu yang kita boleh lakukan untuk mengatasinya.

Satu fakta yang mungkin kita boleh renungkan ialah bagaimana sebahagian pelaku pedofilia dilaporkan mempunyai sejarah dicabul ketika kanak-kanak. Trauma yang dialami, bagi sesetengah mangsa di terjemah sebagai perilaku serupa yang seolah-olah diprogram akibat perlakuan pemangsa. Kini mangsa menjadi pemangsa (role-reversal) (DiChristina, 2009).

Ada juga kajian yang mengaitkan masalah pedofil dengan gejala kecelaruan personaliti dan masalah mental yang tidak di rawat seperti kemurungan, OCD dan sebagainya.

Apa Boleh Dilakukan?

Grebchenko, antara pengkaji yang banyak mengkaji tentang gejala ini menyimpulkannya sebagai ‘lifelong disorder, needs lifelong treatment’ (Lamberg, 2005). Kajian terkini menunjukkan rawatan psikoterapi dan ubatan (anti-depressant, hormonal therapy) mampu membantu mengawal sebahagian gejala ini. Namun kunci sebenar merawatnya masih terdapat pada individu yang terlibat.

Bagi kita secara umumnya, isu ini seharusnya menggerakkan kita untuk menghayati beberapa titik penting.

– Kepentingan institusi keluarga sebagai benteng pembentukan peribadi anak-anak
– Tarbiyah anak-anak sejak kecil perlu menjadi agenda utama setiap ibubapa sebagai perisai mereka terhadap semua unsur yang negative
– Berjaga-jaga dengan pengaruh alam siber kepada anak-anak
– Jangan ambil mudah kesan jangka masa panjang kejadian trauma seperti penceraian, cabul, kematian dan sebagainya terhadap anak-anak
– Ibubapa perlu cakna dengan perubahan tingkah laku, personaliti anak-anak
– Kerajaan perlu berperanan mendidik masyarakat dengan menapis pelbagai unsur-undur luar yang cuba menormalisasi sesetengah budaya sonsang
– Hukuman perlu di perketat sebagai antara mekanisme mencegah

Semoga kita, keluarga dan masyarakat kita dilindungi dari sebarang unsur yang merosakkan. Bagi yang mengalami sebarang masalah berkaitan personaliti, perilaku, kecenderungan seksual yang tidak normal, perlulah mendapatkan penilaian dan rawatan yang perlu.

Penulis: Dr Rozanizam Zakaria

Merupakan seorang doktor dalam bidang psikiatri dan motivasi minda. Merupakan penulis buku "Aku Nabi Isa!.." dan banyak berkongsi tentang ilmu psikologi anak-anak. Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.