Mari bersama ketahui Cara Diet Rasulullah SAW.
Islam sangat menggalakkan umatnya untuk memilih dan mengamalkan cara pemakanan yang sihat sebagai ikhtiar dalam menjalani kehidupan yang sihat dan cerdas.
Ini kerana tubuh badan yang sihat sangat dituntut dalam Isam agar dapat menjalani ibadah dengan sebaiknya selain memudahkan urusan rutin seharian. Rasulullah SAW sendiri sebagai contoh terbaik dari segala aspek dalam kehidupan, termasuklah dalam diet yang mementingkan khasiat dan pengambilan makanan yang disaran oleh Islam.
Selain itu, setiap amalan yang dilakukan oleh Baginda sebaiknya dituruti agar memperoleh keberkatan dan manfaat daripada sunnahnya.
Berikut adalah antara diet pemakanan sihat yang menjadi amalan Rasulullah SAW:
Baginda Rasulullah SAW pernah melarang para sahabat daripada minum susu bersama ikan. Begitu juga dengan campuran ikan bersama daging, telur atau sayuran.
Dalam kajian moden kini, telah membuktikan ayam mngandungi ion+(Positive Ions), manakala dalam makanan laut puls terdapat ion-(Negetive Ions). Jika kedua-dua jenis makanan ini bercampur akan berlakulah tindakbalas biokimia (Biochemical reactions) yang aktif dalam tubuh yang akan mengakibatkan kerosakan sistem perut dan usus. Bahkan, menjadi punca kepada banyak penyakit lain.
Baginda juga melarang pengambilan susu bersama dengan cuka. Ini kerana cuka boleh merencatkan penyerapan protein dalam susu. Selain itu, sifat asid daripada cuka mampu menghakis perut sehingga boleh menyebabkan gastrik.
Jika hari ini, minuman seperti ini adalah seperti koktail. Gabungan dua bahan ini boleh meningkatkan kadar keasidannya perut yang menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian perut seperti sebu dan gastrik.
Rasulullah SAW menyarankan agar memakan buah terlebih dahulu sebelum mengambil makanan berat yang lain. Bukan sebaliknya yang kebanyakan diamalkan pada hari ini.
Sebaiknya, makan buah dahulu sebelum makan, iaitu lebih kurang sejam sebelum makan nasi.
Ini kerana buah-buahan mengandungi serat dan fiber yang tinggi yang mampu mengeyangkan dan akan membuatkan pengambilan nasi lebih sedikit.
Dalam aspek pemakanan, Baginda SAW juga banyak mengamalkan bijirin, sayuran dan buah-buahan. Corak pemakanan sebegini adalah sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan, seperti juga yang dicadangkan oleh pakar nutrisi hari ini.
Bijiran yang selalu menjadi amalan Baginda adalah Habbatus Sawda’, barli dan oat.
Al-Hakam bin Uyainah berkata:
“Adapun Rasulullah SAW tidaklah Baginda tidur malam sehingga Baginda memakan Habbatus Sauda dan madu. Begitulah jua amalan Baginda pada awal pagi untuk tenaga, hafalan dan menghilangkan masalah lendir (lelah/asma)”
Bijirin dan bijian sememangnya kaya dengan bahan antioksidan yang mampu meningkatkan sistem pertahanan tubuh, mengawal penyakit kencing manis, menyihatkan jantung, obesiti, dan membantu mencegah kanser.
Menurut Abu Daud, Yusuf bin Abdullah bin Salam RA meriwayatkan;
“Aku melihat Rasulullah SAW mengambil sekeping roti gandum dan diletakkan tamar di atasnya dan memakannya.”
Saidatina Aisyah RA berkata;
“Keluarga nabi tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum dua hari berturut-turut dan (pada hari mereka tidak memperolehi roti) mereka memakan tamar.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Gandum sempurna atau whole grain wheat mempunyai perbezaan berbanding tepung gandum yang diproses. Hal ini kerana kandungan kadar protein, serat dan vitamin E tinggi membantu merendahkan kadar kolesterol dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Roti yang diperbuatan dari gandum asli juga mengandungi karbohidrat yang bersesuain dengan tubuh badan manusia. Karbohidrat juga penting untuk membekalkan tenaga dan juga mengandungi zat-zat logam yang lain, vitamin dan serat untuk kepentingan kesihatan.
Tamar atau kurma adalah buah yang disukai oleh Rasulullah SAW, dan sangat sinonim dengan diet pemakanan Baginda. Tamar juga sentiasa menjadi hidangan penting bagi Nabi dan keluarga.
Diriwayatkan oleh Aisyah berkata;
“Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kurma juga dikenali sebagai buah atau makanan yang sempurna dengan zat dan khasiat yang diperlukan untuk kesihatan iaitu, serat yang tinggi, karbohidrat, protein, serat, zat logam selain kandungan lemak yang rendah.
Dengan beberapa biji sahaja, kurma sudah melengkapkan keperluan khasiat tubuh badan manusia.
Rasulullah SAW sangat menggemari buah-buahan, antaranya adalah buah tembikai.
Saidatina Aisyah pernah berkata,
“Rasulullah pernah memakan buah tembikai bersama-sama dengan buat tamar basah.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Tembikai merupakan salah satu buah yang kaya dengan khasiat tersendiri. Ia mengandungi 92 % air dan 8 % gula. Tembikai juga mengandungi antioksidan yang disebut ‘lycopene’ yang membantu tubuh mencegah pelbagai penyakit, antaranya kanser.
Baginda juga diriwayatkan sangat menyaukai sayuran dari jenis mentimun. Pengambilannya mentimun yang kaya air ini sangat sesuai dengan makanan yang berserat kerana ia akan memberikan kesan yang sangat baik untuk pencernaan dan usus.
Sayuran jenis ini juga sanagt membantu menyejukkan badan selain kaya dengan vitamin C yang membantu meredakan radang kulit. Dengan kandungan silikanya akan menjaga sistem saraf yang melibatkan otot, tendon, ligamen dan tulang.
Kebanyakan buah dan sayur mempunyai kadar lemak yang rendah yang akan membantu mengurangkan lemak dan mengawal berat badan. Selain sebagai sistem pertahanan badan daripada pelbagai jenis penyakit dan bakteria lantaran kandungan zat dan vitamin lain.
Nabi SAW juga sangat menggalakkan pegambilan madu.Baginda SAW sendiri mengamalkan minum air sejuk yang dicampur dengan sedikit madu setiap pagi. Ikhtiar ini sangat sesuai untuk mengelakkan tubuh dihinggapi pelbagai jenis penyakit. Bahkan dinyatakn juga dalam al-Quran tentang kebaikan madu ini;
“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya ada ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang yang memikirkan.”
(An-Nahl: 68-69)
Sesungguhnya madu adalah antara makanan terbaik dengan 1001 khasiat selain makanan sunah yang sangat baik untuk diamalkan.
Nabi SAW sentiasa mengamalkan minum air dengan banyak. Ada cara tertentu Baginda minum air yang baik untuk kesihatan, iaitu memegang gelas dengan tangan kanan dan meneguk air perlahan-lahan dan tidak bernafas atau menghembus ke dalam air tersebut. Hal ini kerana udara yang sengaja dibuihkan dalam air itu mungkin mengandungi kuman dan bakteria yang berbahaya kepada kesihatan.
Minumlah air sebaik-baiknya sebelum makan. Jangan meneguk air ketika sedang makan. Minumlah air hanya jika tersedak, kekeringan dan selepas setengah jam selepas makan. Cara ini membantu mengelak kembung air selain melancarkan selera makan.
Makanan yang dimakan adalah bakal menentukan tahap kesihatan tubuh badan kita. Sama ada makanan tersebut membantu mengekalkan kesihatan ataupun memudaratkan tubuh badan.
Apa-apa makanan yang masuk ke dalam perut itulah yang akan menjadi darah daging yang mampu melawan atau menjemput penyakit.
Baginda SAW adalah contoh ikutan amalan diet pemakanan yang terbaik, bersesuaian dengan tuntutan agama, sains atau perubatan. Baginda tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya lantaran cara pemakanan yang begitu baik, sederhana dan sesuai dengan keperluan kesihatan manusia.
Sebaiknya diet cara Rasulullah SAW dijadikan sebagai amalan agar kesihatan lebih terjamin selain mendapat pahala sunah. Dan bersederhanalah dalam menjamu selera, amalkan pemakanan sihat dan berpada-pada ketika makan. Makanlah hanya untuk hidup!