Mari ketahui teknik dan cara yang betul untuk menghafal.

Dalam bahasa Melayu menghafal membawa maksud sesuatu yang telah benar-benar masuk dalam ingatan tanpa perlu melihat apa-apa catatan. Dalam bahasa Arab pula hafalan disebut sebagai al-zakirah. 

Hafalan juga sebahagian yang penting dalam usaha menuntut dan menguasai ilmu. Termasuklah dalam bidang agama iaitu teknik hafalan digelar sebagai ‘hafazan yang maknanya ‘terpelihara dan kekal dalam ingatan’ (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Dalam sejarah pencarian ilmu para ulama, golongan soleh serta ilmuwan terdahulu juga menghafal untuk menguasai dan menyebarkan ilmu mereka.

Bahkan ada dalam kalangan para ulama yang menghafal kitab-kita terlebih dahulu, kemudian barulah mempelajarinya. Seperti Imam Syafie, yang menghafal kitab al-Muwatta’ pada usia kanak-kanak sebelum mempelajarinya secara mendalam dengan Imam Malik.

Dalam dunia keilmuan juga, daya hafalan seseorang terhadap sesuatu bidang turut melambangkan ketinggian ilmu dan kebijaksanaan. Hafalan bukan sahaja memudahkan penyampaian sesuatu ilmu itu, tetapi turut memberi kepuasan serta kenyakinan pada sendiri.

Bahkan, pendekatan menghafal yang berkesan juga pasti berbeza bagi setiap orang. Justeru, terdapat beberapa tips dan teknik berkaitan cara menghafal yang berkesan, kekal dan tidak mudah lupa.

1. Tumpu Perhatian Dan Fokus

Pastikan tumpuan diberikan sepenuhnya semasa belajar dan menghafal.  Sebaiknya jauhkan diri daripada perkara lain seperti telefon bimbit, televisyen dan sebagainya yang menganggu tumpuan dan hafalan.

2. Menulis Isi Penting

Catatkan isi penting bacaan yang ingin dihafal. Pastikan poin penting sahaja, bukannya dalam bentuk penulisan yang panjang. Cara ini akan mudah diingati kerana lebih ringkas dan tidak meleret.

3. Hafal Pada Waktu Yang Sesuai

Pilihan waktu sangat penting untuk mengulangkaji ilmu dan belajar, apatah lagi untuk menghafal. Ini kerana pada waktu yang tenang dan selesa memudahkan apa-apa yang dibaca diserap dan dapat dihafal dengan baik.

Antara waktu yang sesuai untuk menghafal adalah di tengah pagi atau pada 2/3 malam.

Boleh juga tidur pada awal malam selepas solat Isyak, dan bangun semula  sekitar pukul 3 pagi untuk mengulangkaji serta menghafal. Waktu ini sangat baik kerana tubuh dan minda lebih segar dan tidak ada gangguan.

4. Banyakkan Latihan

Lakukan latihan dengan lebih kerap dan berulang kali sehingga mahir.

Apatah lagi jika peperiksaan semakin hampir, latih diri dengan lebih banyak latihan. Otak manusia akan lebih fokus dan terbiasa dengan perkara yang sentiasa dilakukan berulang dan banyak kali.

5. Menulis Semula

Dengan  menulis semula sesuatu yang ingin dihafal akan memudahkan kita mengingatinya. Dan sudah tentu bacaan itu akan diingati. Ianya sama sepeti mencatat nota, mahupun menulis sesuatu itu secara berulang-ulang.

6. Mengulangi dan Berterusan

Cara lain adalah dengan sentiasa membaca sesuatu itu, sehingga lama-kelamaan ianya akan melekat di ingatan secara tidak langsung.

Ada kalanya sesuatu itu akan terhafal dengan cara tidak sengaja jika setiap hari kita membacanya.

7. Peta Minda Atau Mind Map

Peta minda atau mind map dapat membantu pemahaman juga selain memudahkan hafalan.

Mind map mestilah ada topik utama, isi penting atau kata kunci yang ditulis atau dilukis bagi membantu otak membayangkan visual peta minda itu apabila terlupa.  Pastikan peta minda itu juga menggunakan pen berwarna serta tulisan yang pelbagai agar lebih menarik.

8. Memahami Perkara Yang Dihafal

Adalah lebih baik dan mudah untuk memahami sepenuhnya apa-apa yang dihafal terlebih dahulu.

Pasti hafalan lebih sukar jika sesuatu itu tidak difahami sepenuhnya. Bahkan pasti lebih cepat lupa.

9. Kongsi Atau Mengajar

Bagi menjadikan seseorang itu lebih mahir dan memudahkan untuk mengingat, adalah lebih baik untuk mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Cara ini pasati membantu kerana sentiasa diulang ajar.

Bahkan sambil mengajar bolehlah menghafal dan menguasai ilmu tersebut kerana perlu menelaah dan membuat rujukan terlebih dahulu.

10. Membina Akronim

Bina akronim atau singkatan yang tersusun dari abjad atau suku kata yang pertama dari perkara yang ingin dihafalkan.

Kaedah ini antara yang berkesan dan memudahkan hafalan kerana membntu meringkaskan dan memendekkan sesuatu yang panjang untuk dihafal.

11. Kaedah Tanya-Jawab

Selain menghafal nota, boleh juga digunakan cara ‘tanya-jawab’, iaitu dengan menyediakan soalan untuk diri sendiri seolah-olah sedang bermain kuiz.

Bukan sahaja meningkatkan kefahaman, kaitan soalan dengan jawapan juga akan memudahkan kita mengingatkan sesuatu perkara yang ingin dihafalkan.

12. Dengar Bacaan Sendiri

Mengulang bahan bacaan yang dihafal itu dengan nada yang sedikit kuat atau boleh didengari.

Teknik ini akan membantu kita mendengar dengan jelas dan memudahka hafalan.

13. Menjadikan Lagu

Otak manusia sememangnya sangat mudah terangsang dengan sesuatu bunyian yang berlagu dan adanya nada. Sebab itulah kita akan sangat mudah mengingati lagu-lagu walaupun dalam tempoh yang sangat lama.

Pasti sesuatu hal yang ingin dihafal akan menjadi mudah jika dijadikan lagu dan ada rentaknya tersendiri, apatah lagi jika lagu tersebut adalah lagu kesukaan.

14. Menjaga Pemakanan

Jaga dan pilihlah makanan yang sesuai untuk minda dan ingatan. Sudah tentu ada makanan yang dianjurkan bagi golongan yang menimba ilmu dan penghafal, antaranya; kismis, madu, ikan segar, bijirin, buah-buahan sunnah dan sebagainya.

Bahkan terdapat juga makanan yang tidak digalakkan untuk diambil lantaran melemahkan fikiran. Ada juga makanan yang harus dielakkan diambil secara berlebihan. Faktor ini juga sangat penting untuk dititikberatkan.

Penutup: Hafallah Ilmu Yang Baik Agar Lebih Mudah Dihafal Dan Dipelajari

Selain beberapa teknik ini, pastikan juga tubuh dan sihat dan mendapat istirehat yang secukupnya. Hafallah sebaik mungkin, bersungguh dan jangan mudah putus asa!

Selain menghafal, pratikkanlah ilmu tersebut agar ilmu itu sentiasa terpelihara dalam ingatan dengan baik.

Rujukan:

  1.  I Pendidikan
  2. Sembang Kejayaan.blogspot.com
  3. Sinar Harian

Bacaan Lain:

9 Tips Mengaji Al-Quran Untuk Baiki Diri (Sedikit Demi Sedikit)

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.