Mari bersama ketahu cara menjaga alam sekitar.
“Sesungguhnya dunia ini manis lagi menghijau dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat bagaimana kamu melakukannya. Berhati-hatilah dengan dunia dan juga wanita. Sesungguhnya ujian pertama yang berlaku ke atas Bani Israel adalah berkaitan wanita.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Alam sekitar adalah persekitaran yang mengelilingi kehidupan manusia, seperti tanah, air, udara, bunyi, bau, rasa, dan sebagainya yang berhubung dengan faktor biologi dan sosial.
Alam sekitar juga telah menjadi elemen terpenting kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT. Ini kerana semua hidupan di dunia ini memerlukan alam sekitar bagi meneruskan hidup. Kerana, dari alam sekitar inilah terdapatnya sumber makanan, keselesaan meneruskan kehidupan lain.
Dengan itu, penajgaan alam sekitar sebaiknya sangat perlu agar sistem kehidupan tidak terganggu, apatah lagi dengan pencemaran dan kerosakan alam sekitar. Manusia harus sedar, bahawa jika berlaku kerosakan pada alam sekitar, bermakna kehidupan manusia turut akan terancam.
Bahkan, dalam Islam juga penjagaan alam sekitar juga sangat dititikberatkan. Terdapat banyak firman Allah yang menyeru manusia untuk menjaga alam sekitar.
Bukan itu sahaja, tuntutan menjaga alam ini juga boleh dilihat melalui larangan Allah SWT ke atas sekalian manusia daripada melakukan kerosakan ke atas muka bumi. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”
( al-Qasas : 77)
Terdapat beberapa saranan dalam menjaga alam sekitar dengan sebaik mungkin. Antaranya;
Tabiat buruk yang merosakkan alam seperti membuang sampah merata-rata, membuang buangan beracun ke dalam laut dan sungai, melepaskan asap kilang, pembakaran terbuka, pemburuan haram, menceroboh hasil hutan tanpa had, selain pembangunan yang tidak terkawal akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dalam jangka masa panjang.
Hanya orang yang tidak sayangkan alam sekitar akan melakukan hal demkian. Jadi hentikanlah merosakkan alam sebelum lebih banyak kesan buruk berlaku. Banjir kilat, tanah runtuh dan kepupusan binatang serta tumbuhan adalah antara kesan dari tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri.
Jaga alam sekitar dengan mendisiplinkan diri menjaga kebersihan kawasan persekitaran, tidak menebang pokok sesuka hati, sayangi sungai dan memelihara hutan dan tumbuhan.
Ini termsuklah mengadakan pelbagai kempen atau projek yang menerapkan ke arah menjaga alam sekitar. Malah mengajak orang ramai menyertai dan memahami betapa pentingnya menjaga alam sekitar dengan baik.
Manusia yang bertangunggjawab dengan alam sekitar adalah yang memelihara bumi dengan sebaik mungkin. Lakukan proses pemuliharaan jika ada yang tercemar, seperti membersihkan sungai yang dipenuhi sampah, selain menanam semula pokok-pokok yang ditebang untuk pembangunan.
Ini termasuklah berusaha membaik pulih alam sekitar seperti menjaga agama sendiri, nyawa dan harta, serta keturunan. Segala kerosakan boleh dibaiki jika ada kesedaran dan tekad untuk tidak mengulangi kesilapan sebelumnya.
Seharusunya manusia sedar, perbuatan merosak dan memusnahkan alam sekitar bukan sahaja tidak amanah, tetapi itu juga adalah perbuatan jenayah dan mungkar kerana mengganggu kesejahteraan kehidupan orang lain. Bukankah alam sekitar yang dirosakkan itu dalam milik Allah SWT?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya, dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”
(al-A’raaf : 56)
Ketahuilah, dengan kerosakan alam sekitar, pencemaran dan pengurangan sumber alam akan mengganggu keseimbangan alam seterusnya membahayakan kehidupan manusia itu sendiri.
Seperti tindakan membuang toksin dalam sungai, pastilah akan mencemarkan sungai, selain memusnahkan ekosistem air. Selain itu air tersebut juga tidak lagi sesuai digunakan kerana bakal menjejaskan kesihatan dan menyebabkan keracunan.
Manakala pembalakan dan perlombongan secara haram akan menjejaskan struktur tanah dan menjadi punca tanah runtuh. Semua ini akan ditanggung kesannya oleh manusia itu sendiri.
Allah menjadikan setiap sesuatu dengan kegunaan dan fungsi yang tersendiri. Begitu juga dengan alam sekitar yang mengandung beribu kegunaan dan manfaat kepada manusia. Antaranya hutan yang kaya dengan sumber mineral dan kayu-kayan, yang membawa rezeki kepada manusia dari pelbagai aspek.
Lalu gunalah anugerah yang diberikan Allah itu dengan sebaiknya. Pastikan tidak ada pembaziran, tidak disia-siakan serta berhemah sehingga tidak memusnahkan alam yang sedia ada. Contohnya penebangan kayu balak, pastikan berjadual, mempunyai lesen dan bukan secara haram.
Kerosakan seperti pengambilan hasil bumi secara berlebihan akan memberi kesan pada masa akan datang, bahkan akan mengancam kelangsungan hidup generasi hadapan.
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah yang memakmurkan bumi dengan kebaikan dan menjaga alam daripada apa-apa kerosakan.
Sebagai manusia yang berakal, tentulah dapat memelihara alam sekitar dengan baik tanpa mengganggu atau merosakannya. Islam juga sangat menuntut untuk penganutnya menjaga alam sekitar seperti menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta sendiri.
Lalu, jagalah kurniaan ini sebagai cara menyatakan kesyukuran kepada Allah. Bahkan balasan yang buruk pasti menimpa tangan-tangan manusia yang lupa akan perintah Allah SWT itu.
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
( al-Rum : 41)