Saya tahu ramai ibu bapa diluar sana memang rajin mengajar anak-anak di rumah, lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah kelewatan bahasa. Tetapi, adakah teknik yang digunakan untuk mengajar itu betul?.

Berikut adalah 6 kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh ibu bapa ketika berinteraksi dengan anak-anak semasa mengajar (hasil dari pemerhatian saya)

#1 Bertanya Banyak Soalan Tanpa Memberikan Jawapan

Kebanyakan kita memang gemar bertanya soalan pada kanak-kanak. Saya faham kenapa ini berlaku, kerana dengan cara bertanya soalan kita akan menggalakkan kanak-kanak untuk bercakap. Tak salah untuk bertanya soalah, tetapi pastikan anda memberi jawapan jika kanak-kanak tidak menjawab apa yang ditanya.

Jika mahu menduga anak anda, anda boleh beri pilihan jawapan berkenaan soalan yang anda Tanya. Contohnya,

Ibu : ini apa?
Anak : **senyap
Ibu : ini bola atau kasut
Anak : *senyap
Ibu : Ini bola…..jom main bola..

Sentiasa beri jawapan untuk soalan yang anda tanya. Jangan biarkan soalan tergantung begitu sahaja di tambah dengan bunyi cengkerik *krik krik krik…

#2 Bertanya Soalan Atau Memberi Arahan Secara Berulang Ulang

“bagi mama bola, bagi bola, bola, tu bola, ambik bola bagi mama, bola tu, adik ambik”

Pernah tak dengar arahan sebegini panjang bila mengajar anak dan anak lambat pula memberi respon. Agak-agak nya sempat tak otak kanak-kanak untuk proses arahan sepanjang itu. Apabila kita rasa anak tidak memahami apa yang disuruh atau ditanya, kita akan mempunyai kecenderungan untuk mengulang soalan atau arahan tersebut. Ya, memang tak salah untuk mengulang, tapi ada caranya.

Apabila bertanya soalan atau memberi arahan, pastikan kanak-kanak memberi tumpuan terlebih dahulu dan berada dalam keadaan bersedia. Sebut ayat yang jelas sekali sahaja dulu. Tunggu, jika tiada respon baru ulang dengan ayat yang sama seperti yang pertama tadi dan tunggu jika tiada respon terus bantu anak untuk buat arahan itu atau bagi jawapan pada soalan yang ditanya tadi.

cakap

beyond.com

Sama juga, jangan biarkan cengkerik berbunyi jika arahan yang diberikan tergantung tanpa sebarang aksi. Bantu anak untuk faham apa yang disuruh dengan memberikan model yang betul.

#3 : Tidak Sabar Menunggu Jawapan Anak

Kanak-kanak perlu berfikir untuk memberikan jawapan tentang apa yang ditanya / disuruh. Lebih-lebih lagi kanak-kanak dengan kelewatan bahasa, prosesnya akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak normal. Sabar, sabar dan sabar. Beri masa untuk kanak-kanak memperoses informasi yang diberikan.

Komputer pun kadang-kadang memerlukan masa untuk memproses arahan kita, samalah juga dengan otak manusia. Oleh itu diharapkan anda bersabar dan teruskan bacaan untuk poin seterusnya.

#4 : Memberi Arahan Yang Terlalu Panjang Untuk Anak

Saya pernah dengar seorang bapa memberi arahan pada anaknya (mild autism, bercakap dengan kata tunggal). Bunyinya begini “take the car give it to teacher put it back in the box” dengan nada yang monotonus. Agak-agaknya kanak-kanak tu faham tak? – contoh sahaja, jangan terasa pula.

Ketika bercakap dengan kanak-kanak, elakkan untuk menggunakan ayat yang terlalu panjang. Lihat kebolehan kanak-kanak itu sendiri. Jika kebolehan bahasa kanak-kanak itu sangat bagus, tidak mengapa untuk memberi arahan sebegitu, tetapi jika kanak-kanak baru becakap menggunakan perkataan tunggal, gunakan ayat 2 – 3 perkataan sahaja untuk memberi arahan. Itupun kanak-kanak masih memerlukan bantuan untuk memahami arahan yang kita beri.

#5 : Melonggokkan Mainan Depan Anak

Ini memang biasa saya Nampak ketika ibu bapa bermain dengan anak. Jangan sesekali melonggokkan mainan di depan anak kerana anak anda tidak akan mempedulikan anda selepas itu. Ternyata mainan itu lebih menarik dari kita, terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk bersosial.

Bagaimana kita hendak mewujudkan interaksi 2 hala jika kanak-kanak hanya melihat mainan dan tidak pedulikan kita. Jadi, cara yang terbaik adalah, pegang mainan dan berikan satu persatu kepada anak.

Contohnya, jika bermain blok kayu, beri satu persatu blok dan susun. Sambil beri, galakkan kanak-kanak untuk melihat anda dan anda juga boleh mengajar perkataan pada masa itu. Bila focus anak pada anda, dia akan dengar apa yang anda sebut, dan lebih cepat dia akan belajar.

main

earthlovingmama.com

#6 : Bercakap Dengan Nada Yang Mendatar

Tidak semua orang mempunyai kebolehan untuk bercakap dengan pelbagai intonasi, tetapi apabila mengajar kanak-kanak, cuba untuk bercakap dengan berintonasi untuk menarik minat mereka.

Alasannya senang sahaja, kenapa kanak-kanak lebih mudah meniru sebutan lagu kanak-kanak yang panjang berbanding sebutan kita yang pendek?. SEBAB, kanak-kanak memang sukakan sesuatu yang berlagu dan berintonasi. Ianya menarik perhatian mereka.

Penulis: Aishah Kassim

Mahir dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran berkomunikaso bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Merupakan seorang Terapis Pertuturan Bahasa atau secara ringkasnya disebut SLT (Speech & Language Therapist). Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.