Berbeza dengan budaya masyarakat Barat, masyarakat kita lebih selesa tidur bersama bayi mereka semenjak bayi mereka baru lahir lagi. Tabiat ini bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu bapa, ia juga boleh mengelakkan dari kejadian tidak diingini berlaku.
Sekiranya sesuatu berlaku pada bayi, ibu bapalah akan menjadi orang pertama yang bertindak terlebih dahulu.
Persoalannya, apabila kita sudah merasakan anak kita cukup besar untuk tidur berasingan dengan kita, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengajarnya? Pastilah tidak semudah dengan hanya sekadar menyuruhnya tidur di tempat lain apabila dia sudah terbiasa tidur berteman, bukan?
Sekiranya anak kecil anda mempunyai adik beradik yang lebih besar, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana sekiranya dia merupakan anak tunggal, atau anak pertama? Pasti sukar bukan?
Disini saya akan berkongsi 5 tips untuk mengajar dan menggalakkan anak anda tidur di katilnya sendiri.
Sebelum memulakan proses mengajarnya tidur di katil sendiri, pastikan anda mengambil masa beberapa ketika dan bercerita berkenaan biliknya sendiri.
Sebagai contoh, sebulan sebelum waktu yang dirancang, ambil kesempatan untuk bercerita pada si manja anda berkenaan biliknya dan katilnya sendiri.
“Nanti bila kakak dah besar sikit, kakak tak boleh tidur dengan Ummi dah. Kakak kena tidur dibilik sendiri.
Di bilik sendiri, kakak ada meja belajar sendiri, tempat letak permainan sendiri dan macam-macam lagi. Sama la macam Ummi dan Abi. Ummi dan Abi pun ada bilik sendiri”.
Bercerita dengan lembut, dan setiap hari.
“Tak lama lagi, adik dah nak lahir. Kesian adik, takut dia terhimpit sebab katil Mak ni kecik je. Abang kan dah besar, Abang bagi adik tidur tempat abang boleh? Nanti Abang boleh tidur bilik Abang sendiri. Lagi best, kan?”
Memperkenalkan anak anda terlebih dahulu dengan perubahan tempat tidurnya adalah sangat penting. Bayangkan jika anda berada dalam situasi yang sama. Anda tiba-tiba mendapat notis untuk keluar dari rumah sewa tanpa sebarang sebab.
Pasti anda akan berasa sangat kecewa, bukan? Begitu juga dengan si manja anda. InshaAllah anak anda akan lebih bersedia apabila masa yang sesuai telah tiba.
Semestinya, hampir semua kanak-kanak akan lebih tertarik dan bersemangat untuk melakukan sesuatu sekiranya diberi ganjaran.
Namun, awas! Ganjaran tersebut biarlah berpada. Jangan sampai si anak terlalu bergantung pada ganjaran sehingga tidak mahu melakukan apa-apa sehingga ganjaran diberikan.
Tekniknya, anda perlu memberi ganjaran atas pencapaiannya. Bukan ganjaran diberikan kerana si dia melakukan sesuatu. Apa bezanya ya?
Semasa memujuknya dan memberikan ganjaran, anda terangkan padanya mengapa ganjaran tersebut diberikan.
“Along tidur dibilik sendiri, tandanya Along dah besar. Disebabkan Along baik dan jadi anak soleh sebab ikut nasihat Mama, Mama belanja Along makan Baskin Robbin kegemaran Along.
InshaAllah kalau Along berterusan akhlak macam ni, Mama akan selalu belanja Along”.
Mendidik anak memerlukan kesabaran. Bukan sekadar memaksa mereka melakukan apa yang kita mahukan. Kita sendiri pun tidak suka diperlakukan begitu. Apatah lagi anak-anak, bukan?
Ganjaran juga bukan sahaja boleh diberikan dalam bentuk material atau memerlukan kos yang banyak. Anda boleh membuat sticker chart, dan lekatkan pelekat berwarna-warni untuk setiap hari yang anak anda tidur dibiliknya sendiri.
Si manja anda pasti bersemangat untuk memastikan setiap hari dia mendapat pelekat yang terbanyak.
Serlahkan ke-kreatifan anda dalam memberi ganjaran!
Anda hanya menemani, BUKAN tidur bersama-sama disebelah mereka. Tidur disebelah anak anda dikhuatiri akan menyebabkan mereka terlalu bergantung pada anda untuk menemani mereka setiap kali tidur.
Semasa menemani, anda boleh mengambil kesempatan ini untuk membacakan ayat suci al-Quran sebelum mereka tidur atau membacakan buku pada mereka.
Cara ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara anda dan anak-anak. Anda dapat menjana minda mereka untuk menjadi lebih kreatif dan bijak.
Apabila anak anda sudah terbiasa untuk tidur sendiri, pastikan anda datang menjenguk setiap kali mereka mahu tidur dan kucup dahi mereka. Dengan cara ini, anak anda akan tahu ibu bapanya akan sentiasa ada bersamanya dan menyayanginya. Mereka akan merasa lebih selamat dan dapat tidur dengan tenang.
Tutup pintu, bukan bermakna mengunci pintu. Cukuplah sekadar anda merapatkan pintu bilik anak anda apabila dia mahu tidur. Namun, cara ini bergantung pada kesesuaian anak anda. Jangan sesekali memaksa sekiranya mereka tidak selesa.
Terdapat sesetengah kanak-kanak sukar untuk tidur lebih-lebih lagi apabila suasana diluar bilik masih terang dengan cahaya dan bising dengan bunyi televisyen. Oleh itu, merapatkan pintu bilik merupakan cara terbaik untuk membantu anak anda mudah melelapkan mata.
Namun, ada juga sesetengah kanak-kanak lebih sukar untuk tidur apabila pintu bilik dirapatkan. Mereka akan merasa tidak selamat dan berasa bagaikan terkurung.
Oleh itu, kenalpasti keselesaan anak anda. Anda mungkin boleh merapatkan sedikit pintu bilik, ataupun memasang lampu tidur supaya anak anda dapat tidur dengan selesa.
Diperingkat awal, si manja anda pasti akan kerap datang kembali ke katil anda apabila dia terjaga diwaktu malam. Letakkan mereka kembali di katil mereka sendiri serta-merta dan temani mereka sehingga mereka terlena.
Ulang tabiat ini dengan istiqamah sehingga mereka faham. Jangan memaksa, apatah lagi memarahi mereka sepanjang proses tersebut.
Lama kelamaan, mereka akan faham tempat tidur mereka bukanlah dikatil anda.
Semoga semua tips ini membantu!
Saya seringkali mengingatkan diri sendiri, menjadi seorang ibu bukanlah mudah. Tetapi ganjarannya berlipat ganda. Ada juga masanya, saya mengeluh tanpa sedar. Diwaktu itu saya terlupa, betapa beruntungnya saya kerana diberikan Allah peluang menjadi seorang ibu. Ayuh berusaha memperbaiki diri menjadi orang yang lebih baik berbanding semalam.