Dunia kanak-kanak sememangnya penuh dengan keriangan. Mereka sangat gemar mencuba dan bereksplorasi. Lebih-lebih lagi apabila mereka bertemu sepupu, saudara-mara atau kawan-kawan, mereka akan menjadi lebih ‘excited’ dan gembira, bukan?
Tidak dinafikan, menjadi ibu bapa buat anak-anak masa kini sememangnya sangat mencabar buat kita. Kadang-kala, jika mereka dilarang melakukan sesuatu perkara, semakin menjadi-jadi pula ragam mereka. Semakin dikata ‘tidak’, ‘jangan’ atau pun ‘no’, semakin galak pula mereka melakukan perkara tersebut.
Buntu juga kita apabila anak-anak ini tidak mahu mendengar kata sehingga kita tertanya-tanya bagaimanakah cara terbaik atau alternatif untuk mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak?
Selain daripada mengatakan ‘jangan’, ‘tidak’ atau ‘no’ kepada anak-anak bagi perkara yang tidak dipersetujui ibu bapa, berikut merupakan 5 teknik atau alternatif yang boleh dipraktikkan kepada anak. Semoga bermanfaat buat kita semua.
Berbanding berkata ‘tidak’, ‘jangan’ atau ‘no’, beritahu apa yang boleh atau perkara yang kita mahu.
Sebagai contoh, apabila anak sedang memanjat sofa, elakkan daripada berkata “Jangan panjat!”.
Adalah lebih baik jika kita katakan, “Turun, sayang. Sofa untuk kita duduk. Kalau nak main panjat-panjat, petang nanti kita main di taman permainan.”
Jika anak bertindak menyepak badan orang lain, elakkan daripada berkata “Jangan sepak!”.
Katakan kepada anak begini, “Kaki kita Allah jadikan untuk kita berjalan atau berlari, bukan untuk sepak dan sakitkan badan orang lain”.
Sesetengah kanak-kanak akan merengek dan menangis sekiranya sesuatu perkara itu tidak memenuhi kehendak atau keinginan mereka.
Oleh itu, elakkan daripada berkata “Berhenti merengek!” atau “Jangan menangis!”.
Adalah lebih baik sekiranya kita menenangkan anak dan katakan, “Tolong cakap betul-betul apa yang abang mahu, Papa akan lebih faham kalau abang cakap elok-elok”.
Sekiranya kita membawa anak-anak ke pasar raya, mungkin anak akan meminta kita untuk membelikan sesuatu barang untuk mereka, bukan?
Jika pada waktu itu kita tidak mahu membelikan mereka item tersebut, elakkan daripada berkata “Papa takkan belikan abang mainan tu.”
Latih diri kita untuk mengatakan sebegini, “Papa tak dapat belikan mainan itu untuk abang. Tapi apa kata Papa belikan abang buku atau nanti kita buat sendiri mainan seperti itu di rumah”.
Anak kecil pada kebiasaannya tidak mahu berkongsi barang dan berpotensi untuk berebut sesuatu barang dengan anak kecil yang lain.
Sekiranya anak-anak berasa sedih atau marah apabila barang mereka dirampas, sehingga membuatkan mereka menyakiti orang lain, elakkan daripada berkata “Jangan sedih” atau “Jangan marah-marah”.
Adalah lebih baik jika kita katakan, “Jika Mama jadi abang, Mama pun akan rasa sangat marah. Tetapi, Mama akan beritahu kawan, yang dia tak boleh rampas mainan itu daripada abang. Abang perlu minta elok-elok, bukan pukul dia”.
Berbanding berkata tidak dengan serta merta terhadap permintaan anak, beritahu perkara yang kita mahu lakukan pada ketika itu.
Sebagai contoh, elakkan daripada berkata “Mama tak boleh main dengan adik sekarang”.
Adalah lebih baik jika gunakan ayat sebegini, “Boleh kita main itu adik, tapi selepas Mama siapkan sikit lagi kerja ini. Sementara itu, adik boleh main robot dulu. Adik ingatkan Mama ya kalau Mama terlupa. Terima kasih, sayang!”.
Kita semua tidak lari daripada melakukan kesilapan, begitu juga dengan anak-anak kita. Mereka juga punya emosi, sama seperti kita.
Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita seharusnya mendidik anak-anak dengan lebih positif dan berhemah agar mereka dapat memahami sesuatu perkara itu dengan lebih baik. Usah tutup terus tindakan mereka yang tidak dapat kita penuhi dengan mengatakan ‘jangan’, ‘tidak’ atau ‘no’ tanpa sebarang penjelasan buat mereka. Beri mereka ruang, peluang dan alternatif solusi, agar anak kecil ini lebih terkawal emosi.
Semoga dengan 5 cara yang kita praktikkan ini, anak-anak akan lebih menghargai dan menghormati kita bukan sahaja pada hari ini, tetapi sehingga kita sudah menjangkau usia emas kelak.